2 pengasuh ditahan disyaki dera kanak-kanak

2 pengasuh ditahan disyaki dera kanak-kanak

Polis berkata wanita berusia 26 dan 50 tahun itu ditahan selepas ibu mangsa membuat laporan polis.

Ketua Polis Besut, Abdul Rozak Muhammad berkata kedua-dua suspek warga tempatan itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Besut untuk permohonan reman esok. (Gambar fail)
JERTIH:
Polis menahan dua pengasuh wanita kerana disyaki melakukan penderaan terhadap kanak-kanak berusia tiga dan satu tahun di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Kampung Raja.

Ketua Polis Besut, Abdul Rozak Muhammad berkata suspek masing-masing berusia 26 dan 50 tahun ditahan petang tadi susulan satu laporan polis dibuat oleh ibu mangsa pada 7 petang semalam.

“Ibu kanak-kanak terbabit mengetahui kejadian tersebut selepas diberitahu dan ditunjukkan video oleh seseorang petang semalam.

“Siasatan awal mendapati mangsa kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun mempunyai satu kesan bengkak kecil di dahi manakala adik perempuannya berusia setahun terdapat satu kesan cubit,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Rozak berkata kedua-dua suspek warga tempatan itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Besut untuk permohonan reman esok.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sementara itu, Abdul Rozak berkata siasatan awal mendapati taska berkenaan mendaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Terdahulu, satu video berdurasi 0.25 saat yang dipercayai berkait kes dera itu dilaporkan tular di media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.