
Menurut sumber, dua ditahan di Hospital Seberang Jaya dan seorang di Hospital Bukit Mertajam pagi tadi.
“Ada kemungkinan lebih ramai lagi ditangkap tidak lama lagi berhubung kartel yang membuat tuntutan Perkeso dengan dokumen palsu dengan bantuan doktor yang bersekongkol,” kata sumber itu kepada FMT.
Ketika dihubungi, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan tangkapan.
Julai lalu, Senator Dr RA Lingeshwaran menggesa Kementerian Sumber Manusia menjelaskan dakwaan bahawa beberapa doktor yang mengendalikan tuntutan hilang upaya Perkeso digantung, yang dikaitkan dengan kartel memalsukan permohonan sedemikian.
Beliau beritahu Dewan Negara bahawa panel itu digantung sehingga diberitahu kelak selepas Perkeso mendapat tahu tentang kegiatan itu di sebuah hospital di Pulau Pinang.
Lingeshwaran, yang juga bekas pengarah Hospital Sungai Bakap, berkata beliau difahamkan kartel sedang melobi supaya doktor yang digantung itu kembali bertugas di hospital sama.
Beliau mengingatkan Dewan bahawa terdapat 683 pengeluaran palsu dari 2018 hingga 2022 melibatkan kira-kira RM43 juta, yang mana 16 melibatkan seorang doktor tertentu yang perkhidmatannya ditamatkan selepas terbongkar.
Beliau juga mempersoalkan berapa ramai didakwa di mahkamah berhubung perkara itu, sambil menambah bahawa semua yang terlibat mesti dihadapkan ke muka pengadilan.
Lingeshwaran menambah bahawa laporan mengenai semua kes penipuan mesti didedahkan kepada umum, kerana ‘apa yang kita tahu baru bunganya sahaja’.