Pendakwaan mohon tangguh prosiding terhadap Naimah sementara tunggu rayuan

Pendakwaan mohon tangguh prosiding terhadap Naimah sementara tunggu rayuan

Terdapat 'keadaan khas' memerlukan penangguhan itu sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

Naimah Khalid
Bulan lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan Naimah Khalid merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berhubung pertuduhan pengisytiharan asetnya.
KUALA LUMPUR:
Pendakwaan memohon penangguhan semua prosiding di Mahkamah Tinggi terhadap Naimah Khalid sementara menunggu rayuannya berhubung keputusan yang membenarkan beliau merujuk persoalan Perlembagaan mengenai pertuduhan pengisytiharan asetnya ke Mahkamah Persekutuan.

Pendengaran hari ini di hadapan Hakim K Muniandy bertujuan merumus soalan-soalan yang akan dirujuk ke mahkamah atasan itu.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Laden berhujah bahawa terdapat ‘keadaan khas’ yang memerlukan penangguhan prosiding, sementara menunggu pelupusan rayuan pihak pendakwaan.

“Jika rayuan dibenarkan, perintah yang dibuat oleh mahkamah ini pada 21 Ogos akan diketepikan, dan perintah hakim Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan responden (Naimah) akan dikembalikan,” katanya.

Perkara itu akan menjadikan pendengaran semasa tidak bermakna, tambah Wan Shaharuddin.

Mahkamah menetapkan 8 Okt untuk mendengar permohonan penangguhan tersebut.

Peguam Naimah, Gurdial Singh Nijar, berkata pihak pembelaan bersedia untuk meneruskan pendengaran mengenai persoalan undang-undang, sekiranya mahkamah menolak permohonan pendakwaan.

Naimah, balu kepada bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Januari lalu atas pertuduhan gagal mematuhi syarat notis pengisytiharan aset dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada Februari, beliau telah memfailkan permohonan untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 30(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Pada 18 Feb, Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menolak permohonannya dengan memutuskan ia tidak mempunyai merit dan tidak menimbulkan sebarang persoalan Perlembagaan yang wajar ditentukan, sekali gus mendorongnya memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, keputusan itu telah diketepikan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan kes tersebut menimbulkan persoalan penting yang wajar dipertimbangkan lebih lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.