
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata kartel itu menyeludup diesel bersubsidi ke luar negara menggunakan kapal tangki yang dikesan dalam masa nyata.
Menurutnya, kartel itu turut dibantu kongsi gelap dan nelayan bagi memudahkan operasinya.
“Untuk menyeludup minyak dari Sarawak, khususnya dari Bintulu, mereka memerlukan bantuan kumpulan tertentu, termasuk nelayan bagi memasukkan bahan api ke dalam lori tangki. Ini bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di sini.
Beliau berkata, empat pengarah dan dua pengurus syarikat turut ditahan dalam Op Karen mulai 2 hingga 8 Sept lalu, manakala 36 individu sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Katanya, tiada maklumat membabitkan VIP setakat ini, tetapi dua suspek ditahan itu mempunyai gelaran Datuk.
Azam berkata, 498 akaun bank berjumlah RM110 juta dibekukan dan aset bernilai RM80.8 juta turut dirampas membabitkan lima kapal bernilai RM52 juta, diesel bersubsidi berjumlah RM4.5 juta, sembilan jam tangan mewah dan wang tunai berjumlah RM156,479 termasuk mata wang asing.
Beliau berkata, pihaknya sedang menjejaki petunjuk membabitkan penjawat awam, tetapi butiran itu tidak boleh didedahkan kerana ia sebahagian daripada siasatan lain.