
Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata sehingga kini pihaknya sudah mengambil keterangan tiga individu termasuk ahli politik itu dan suaminya.
“Kita sedang kesan seorang lagi individu untuk dirakam percakapan selain turut memanggil tiga penulis artikel dalam kes itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya kepada Bernama.
Pada 28 Ogos, media melaporkan seorang ahli politik yang juga bekas timbalan menteri dipercayai terlibat aktif dengan menjadi dalang kepada kumpulan sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa beroperasi di Myanmar.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Hishamuddin Hashim, dilaporkan berkata wanita itu bersama suaminya turut memegang jawatan penting selaku pengerusi keselamatan sebuah syarikat dan difahamkan terbabit pada awal 2020.
Sehari selepas dikaitkan, bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mashitah Ibrahim membuat laporan polis menafikan pembabitannya dalam aktiviti sedemikian, sambil menyifatkan maklumat itu ‘dikutip media picisan Indonesia’.
Baru-baru ini tular sebuah video pembongkaran sindiket itu di Myanmar menerusi YouTube yang diterbitkan di Indonesia, kerana ramai rakyat Indonesia telah menjadi mangsa sindiket terbabit yang secara terangan terlibat dalam aktiviti jenayah pemerdagangan manusia termasuklah melakukan paksaan, penyiksaan, penjualan organ manusia serta jenayah membunuh.