Polis buka kertas siasatan ahli politik didakwa terbabit perdagang manusia

Polis buka kertas siasatan ahli politik didakwa terbabit perdagang manusia

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan lanjut.

saifuddin nasution
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau meletakkan kepercayaan penuh kepada polis untuk menyiasat dakwaan penglibatan ahli politik dalam sindiket pemerdagangan manusia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes seorang bekas timbalan menteri didakwa terbabit dalam sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut kerana percaya siasatan akan dilakukan secara professional.

“Aduan telah dibuat, polis pun sudah buka kertas siasatan, jadi biar proses itu berjalan dulu,” katanya kepada pemberita di Kampung Baru Pulau Redang, lapor Berita Harian.

“Sudah tentu pihak polis akan menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang, jadi saya tak mahu timbulkan sebarang spekulasi.

“Saya letakkan sepenuhnya kepercayaan kepada profesionalisme pasukan polis apabila mereka sudah buka fail mengenai perkara itu.”

Terdahulu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan seorang ahli politik terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Perkara itu bangkit susulan tular satu video tentang sindiket tersebut, yang diterbitkan di Indonesia, mendakwa seorang ahli politik dan suaminya aktif dalam sindiket itu sejak 2020.

Susulan itu, bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Mashitah Ibrahim membuat laporan polis dan memberi keterangan di Bukit Aman pada Khamis, berhubung tuduhan mengaitkannya dengan kegiatan pemerdagangan manusia di Myanmar.

Menurutnya, maklumat itu ‘dikutip media picisan Indonesia’ dan beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba ‘menjatuhkan reputasinya’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.