45 guru Pahang jadi mangsa scam babit kerugian RM1.2 juta

45 guru Pahang jadi mangsa scam babit kerugian RM1.2 juta

Kes tipu antaranya berkait pelaburan, pembelian barang tidak wujud, dan macau scam.

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman, berkata kerugian itu direkod dalam tujuh bulan pertama tahun ini, berbanding RM1.45 juta kerugian dalam tempoh sama tahun lalu.
KUANTAN:
Polis Pahang merekodkan 45 kes guru yang menjadi mangsa penipuan melibatkan kerugian RM1.2 juta dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Bagaimanapun, Ketua Polis Pahang Yahaya Othman, berkata statistik itu menunjukkan penurunan berbanding 61 kes aduan jenayah komersial dalam kalangan pendidik yang diterima bagi tempoh sama tahun lepas melibatkan kerugian RM1.45 juta.

Beliau berkata, kes penipuan itu antaranya membabitkan pelaburan, pembelian barang tidak wujud, dan macau scam dengan sindiket turut menyasarkan mereka yang bersara.

“Secara keseluruhan, 1,228 kes penipuan melibatkan nilai kerugian RM59 juta dalam pelbagai sektor pekerjaan direkodkan hingga Julai lepas,” katanya selepas merasmikan Seminar Cakna Anti-Scam, Kenapa Terus Jadi Mangsa Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Afzan.

Seminar itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan guru mengenai jenayah serta trend terbaharu penipuan bagi mengelak menjadi mangsa sindiket serta boleh dikongsi kepada para pelajar.

Sementara itu, mengulas perkembangan kes kematian seorang wanita di Indera Mahkota, pada 14 Ogos, Yahaya berkata keputusan laporan bedah siasat mendapati terdapat tekanan pada bahagian tengkuk dan leher mangsa.

“Ada unsur jenayah dan kita klasifikasikannya sebagai kes bunuh,” katanya menambah empat ahli keluarga wanita itu yang ditahan reman sebelum ini telah dibebaskan.

Suri rumah berusia 28 tahun itu pada mulanya dilaporkan hilang sebelum ditemukan oleh suaminya dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam bilik tidur rumahnya kira-kira 7.30 malam, pada 14 Ogos lepas.

Mangsa dilaporkan tinggal bersama suami warga China yang bekerja sebagai penyelia kilang, anak lelaki berusia tiga tahun dan adik ipar perempuan berumur lapan tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.