
Perbicaraan itu akan dipengerusikan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong.
Peguam Rafique Rashid Ali berkata Mahathir, 99, mungkin pengadu paling tua memberi keterangan dalam prosiding undang-undang di negara ini.
“Beliau akan membaca kenyataan saksi dan bersedia untuk disoal balas oleh peguam Zahid,” katanya kepada FMT.
Rafique berkata, seorang lagi saksi mungkin akan memberi keterangan, jika perlu, sebelum Mahathir menutup kesnya.
Zahid, yang juga timbalan perdana menteri, dijangka memberi keterangan dan disoal balas esok.
“Kami menjangkakan pembelaan akan menutup kesnya pada hari yang sama kerana Zahid merupakan satu-satunya saksi pembelaan,” katanya.
Rafique berkata, tidak ada kemungkinan kes saman itu diselesaikan di luar mahkamah kerana kedua-dua pihak tidak dapat bersetuju dengan syarat-syarat penyelesaian.
Perbicaraan, yang pada asalnya dijadualkan pada 13 Feb, ditangguhkan selepas Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dan disahkan tidak sihat untuk menghadiri prosiding.
Gan mengarahkan agar tarikh perbicaraan awal ditetapkan kerana usia Mahathir.
Dalam pernyataan tuntutannya, Mahathir mendakwa Zahid mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat Umno Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.
Mahathir mendakwa, kenyataan tersebut antaranya membawa maksud beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty.
Zahid dalam pernyataan pembelaan berkata nama itu merujuk kepada seorang individu berdasarkan maklumat dalam salinan kad pengenalan lama.