Polis siasat akaun FB disyaki fitnah institusi diraja Perlis

Polis siasat akaun FB disyaki fitnah institusi diraja Perlis

Ketua Polis Arau, Ahmad Mohsin Rodi berkata hantaran facebook itu tuduh seseorang jadi dalang singkir Shukri Ramli sebagai menteri besar Perlis.

Ahmad Mohsin
Ketua Polis Arau, Ahmad Mohsin Rodi berkata dua lagi laporan polis juga dibuat terhadap hantaran akaun Facebook tersebut. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis sedang menyiasat dan mengesan pemilik sebuah akaun Facebook kerana didakwa membuat hantaran yang memfitnah institusi diraja Perlis.

Ketua Polis Arau, Ahmad Mohsin Rodi, berkata siasat dijalankan selepas seorang kontraktor membuat laporan semalam selepas melihat hantaran itu di media sosial kira-kira 8.30 malam, 31 Dis lalu, lapor Bernama.

Mohsin berkata hantaran itu menuduh seseorang menjadi dalang dalam menjatuhkan bekas menteri besar Shukri Ramli kerana beliau tidak bersetuju dengan nilai dalam perolehan projek sistem perpaipan di negeri itu.

Katanya, projek itu dikatakan ‘diminta’ oleh seseorang.

Menurutnya, pengadu memohon polis menjalankan siasatan serta mengambil tindakan terhadap pemilik akaun berkenaan kerana cuba memalukan, menjatuhkan dan mengaibkan institusi diraja Perlis.

“Hasil semakan mendapati terdapat dua lagi laporan polis termasuk satu laporan polis di Kangar, dan telah diklasifikasikan dirujuk kepada laporan polis asal di Arau,” katanya.

Beliau berkata pemilik akaun Facebook terbabit kini sedang dikesan dan kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.