
Ibu bapa bapa khuatir apabila bilik darjah sesak, kualiti pendidikan akan merosot, selain mencetuskan masalah sosial.
Seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Fareesha berkata, beliau memilih tidak menghantar tiga anaknya ke sekolah kebangsaan kerana bimbang mereka tidak mendapat pendidikan yang sepatutnya.
Suri rumah berusia 45 tahun itu turut khuatir tentang perubahan format yang kerap di sekolah kebangsaan.
“Saya mahukan sesuatu yang lebih stabil untuk anak-anak saya,” katanya.
Bulan lepas, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kemasukan golongan Bumiputera ke sekolah antarabangsa meningkat 49.4% antara 2019 dan 2024, manakala golongan bukan Bumiputera meningkat 30.6%.
Kurikulum sistem pendidikan Malaysia yang sentiasa berubah sering mengundang kritikan bahawa ia mengganggu proses pembelajaran dan memberi tekanan kepada guru, membawa kepada kemerosotan kualiti pendidikan.
Sebagai contoh, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi pelajar Tingkatan Tiga digantikan dengan PT3 pada 2014, membuka laluan kepada pentaksiran berasaskan sekolah dilaksanakan lapan tahun kemudian.
Fareesha berkata, kandungan sukatan pelajaran kebangsaan juga bersifat terlalu akademik.
Isu-isu ini menyebabkan ibu bapa Bumiputera hilang keyakinan terhadap sekolah kebangsaan, dan mereka yang mampu kini memilih menghantar anak-anak ke sekolah antarabangsa, katanya.
“Pendekatan pendidikan yang lebih menyeluruh harus dilaksanakan di sekolah kebangsaan,” katanya.
Ahli sosiologi pendidikan Anuar Ahmad bersetuju dengan berkata, peningkatan kemasukan pelajar Bumiputera ke sekolah antarabangsa menunjukkan lebih ramai ibu bapa hilang kepercayaan terhadap kualiti sekolah kebangsaan.
Seorang lagi ibu, Dr Wan Hidayu berkata, dengan 40 hingga 50 pelajar dalam setiap kelas, mustahil untuk guru memantau setiap pelajar dengan berkesan.
“Saya percaya ini boleh membawa kepada masalah sosial seperti merokok dan interaksi tidak wajar antara pelajar lelaki dengan perempuan,” kata wanita berusia 37 tahun itu.
Selain itu, beliau menitikberatkan pendedahan budaya bagi anak-anaknya di sekolah antarabangsa, yang beliau yakini dapat meluaskan pandangan dunia mereka.
Eksekutif perhubungan media, Nasuha Badrul Huzaini, 37, berkata peningkatan jumlah penduduk di Puncak Alam, Selangor, tempat tinggalnya, memburukkan lagi masalah kesesakan di sekolah.
“Sekolah kerajaan tidak mampu menampung bilangan pelajar yang semakin meningkat,” katanya kepada FMT.
“Itulah sebabnya saya memilih sekolah antarabangsa untuk anak saya, mencari persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif di mana guru boleh memberi tumpuan kepada setiap pelajar,” katanya.
Menurut Nasuha, kelas-kelas di sekolah antarabangsa lebih kecil, terdiri daripada antara 15 hingga 18 pelajar.
“Ini memastikan setiap (pelajar) mendapat perhatian guru, membolehkan mereka meneroka potensi dengan lebih berkesan.
“Saya juga mahu anak saya menguasai bahasa Inggeris. Di sekolah antarabangsa, bahasa Inggeris digunakan dengan lebih meluas,” tambahnya.