Polis tahan ibu bapa 2 beradik lemas kereta gelongsor masuk sungai

Polis tahan ibu bapa 2 beradik lemas kereta gelongsor masuk sungai

Mereka ditahan selepas memberi keterangan meragukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

KERETA TERGELONGSOR KE DALAM SUNGAI
Dalam kejadian semalam, dua beradik terbabit ditemukan lemas manakala ibu dan bapanya terselamat selepas kereta yang berada dalam keadaan parkir tiba-tiba tergelongsor masuk ke dalam sungai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan ibu bapa kepada dua kanak-kanak yang ditemukan lemas selepas kereta yang berada dalam keadaan parkir secara tiba-tiba menggelongsor dalam Sungai Linggi Tanjung Agas, semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad berkata, lelaki tempatan berusia 46 tahun dan wanita berumur 41 tahun itu ditahan selepas didapati memberi keterangan yang meragukan berhubung kejadian terbabit.

“Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk empat kes yang masih dikehendaki, manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Ujian air kencing terhadap kedua-dua mereka didapati negatif, namun semakan ke atas kereta digunakan mendapati ia merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang dalam satu laporan polis di Nusa Bestari, Johor pada 2022,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut Sinar Harian.

Beliau berkata pasangan itu akan dibawa ke Mahkamah Seremban untuk permohonan reman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Port Dickson di talian 06-6472222 atau pegawai penyiasat Asisten Superintenden Husairin Che Hussin di talian 012-965 4927 bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam kejadian itu, dua beradik terbabit ditemukan lemas manakala ibu dan bapanya terselamat selepas kereta yang berada dalam keadaan parkir tiba-tiba tergelongsor masuk ke dalam sungai.

Ketua Polis Port Dickson Maslan Udin dipetik berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku semasa empat beranak itu sedang berehat sambil memancing di kawasan terbabit dan secara tiba-tiba kenderaan mereka menggelongsor jatuh ke dalam sungai.

Katanya, kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di bahagian ruangan penumpang hadapan dan kereta itu berkemungkinan mempunyai masalah teknikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.