
Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin menyokong cadangan untuk mengembalikan hukuman rotan di sekolah, namun menegaskan bahawa langkah itu hanya sesuai bagi mengawal isu disiplin pelajar.
Katanya, jenayah rogol bukan isu disiplin pelajar tetapi satu perbuatan jenayah yang berpunca daripada masalah yang jauh lebih mendalam. Tambahnya, penyelesaian sebenar ialah melalui pencegahan menerusi pendidikan.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pula berkata, peraturan sedia ada sudah membenarkan pengetua atau guru besar menjalankan hukuman rotan, dan itu sudah mencukupi.

Mengulas mengenai kes rogol baru-baru ini, Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon, menggesa ibu bapa lebih memainkan peranan dalam memantau dan mendidik anak-anak mereka.
Mak berkata, hukuman rotan tidak menyelesaikan punca sebenar jenayah rogol.
“Ia tidak mengajar rasa hormat, empati atau maksud persetujuan. Perubahan sebenar datang melalui pendidikan, kesedaran dan panduan moral.
“Kita perlu mendidik anak lelaki tentang maksud persetujuan, cara menghormati wanita dan kesaksamaan gender. Paling penting, jangan anggap wanita sebagai objek seks yang harus tunduk kepada lelaki,” katanya kepada FMT.
Mak menegaskan bahawa anak lelaki memerlukan teladan yang baik daripada bapa dan guru lelaki, yang menunjukkan rasa hormat dan kesamarataan dalam interaksi harian mereka dengan wanita dan gadis.
Katanya, hal ini menjadi lebih penting kerana kandungan pornografi yang menggambarkan keganasan atau paksaan kini lebih mudah diakses berbanding beberapa dekad lalu, boleh menyebabkan penonton menganggap tingkah laku tersebut normal dan boleh diterima.
“Rogol berkait dengan kuasa, kawalan dan kurangnya rasa hormat, bukan sekadar melanggar peraturan. Pencegahan terbaik ialah melalui pendidikan, rasa hormat dan nilai moral yang kukuh, disokong oleh undang-undang yang jelas serta tindakan pantas,” katanya.
Terdapat gesaan supaya hukuman rotan dikembalikan di sekolah selepas kes rogol beramai-ramai terhadap seorang pelajar perempuan di Melaka, yang membawa kepada penahanan empat pelajar Tingkatan Lima. Dua daripada mereka didakwa merakam kejadian itu dan menyebarkannya dalam talian.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kemudian berkata, suspek akan dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan.
Mak mengkritik tindakan kementerian itu, dengan berkata penyebaran video sepatutnya sudah cukup sebagai bukti salah laku pelajar berkenaan, dan tiada sebab untuk menangguhkan hukuman terhadap mereka.
Katanya, mereka sepatutnya sudah dibuang sekolah kerana kes rogol, atau rogol beramai-ramai dalam kes ini, merupakan kes yang sangat serius.
“Dibuang sekolah sepatutnya bermakna mereka tidak dibenarkan menduduki SPM,” katanya.

Fouzi pula berkata, membenarkan guru biasa merotan pelajar boleh membawa kepada salah laku dan penyalahgunaan kuasa. Beliau juga percaya hukuman rotan tidak akan menghalang kes rogol dalam kalangan pelajar lelaki.
Beliau melahirkan rasa kecewa terhadap kes di Melaka yang disifatkan sebagai ‘seperti haiwan’, dan menyalahkan pendedahan remaja terhadap pornografi dalam talian.
Fouzi berkata, pendedahan seperti itu tanpa pendidikan seks yang mencukupi boleh menimbulkan rasa ingin tahu dan mendorong remaja bertindak mengikut nafsu tanpa memikirkan akibatnya.
“Itulah sebabnya peranan ibu bapa dalam memantau dan mendidik anak-anak sangat penting, kerana penerapan nilai agama dan moral bermula di rumah.
“Sekolah hanya menambah input dan mengukuhkan amalan. Jika anak-anak dibiarkan tanpa pendidikan dan peraturan keluarga, tingkah laku mereka sukar dikawal,” katanya.