Isu Palestin lebih sesuai sebagai kajian berbanding jadi sukatan, kata pakar

Isu Palestin lebih sesuai sebagai kajian berbanding jadi sukatan, kata pakar

Pakar pendidikan kata banyak isu kemanusiaan boleh lebih dihayati melalui pentaksiran alternatif berasaskan projek.

pelajar sekolah rendah
Pakar pendidikan berpandangan isu Palestin tidak perlu dijadikan sukatan pelajaran.
PETALING JAYA:
Isu Palestin lebih sesuai sebagai kajian projek di sekolah berbanding dijadikan sukatan pelajaran, mengambil kira isu kemanusiaan yang pelbagai dan penghayatan isu, saran pakar pendidikan.

Effendi @ Ewan Matore, pensyarah di Pusat Kajian Kepimpinan & Polisi Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia berkata masyarakat sendiri maklum ada banyak isu kemanusiaan dan penderitaan yang wujud selain Palestin, “dan tentunya boleh saja dijadikan sebagai topik kajian atau projek penilaian”.

“Adakah jika nanti ada banyak isu lain, maka sukatan perlu ditambah dan dirombak?” soalnya, mengulas cadangan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi yang menyarankan kisah Palestin dijadikan sukatan pelajaran.

Heliza menjelaskan cadangan itu untuk membuka mata masyarakat mengenai penderitaan dilalui saudara sesama Islam.

Sebaliknya, pakar pendidikan mencadangkan isu kemanusiaan ditelusuri melalui pentaksiran alternatif sedia ada.

“Pemahaman generasi muda tentang isu kemanusiaan boleh ditingkatkan dengan banyak cara terutama melalui pentaksiran alternatif sedia ada berfokuskan ‘project-based’ (berasaskan projek) yang dapat membantu penghayatan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Mohamad Ali Hasan, mengingatkan bahawa sudah ada pembacaan umum dan perbincangan umum tentang Palestin.

​”Mungkin, untuk ini dibincang sebagai selayang pandang untuk makluman warganegara, saya rasa tidak keterlaluan. Tapi, untuk memastikan ada dalam sukatan, ini tidak perlu dipaksa, sebab umum sudah mengetahuinya, umum akan membacanya,” katanya.

Mohamad berpandangan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) lebih perlu dibincangkan sebab ramai yang belum maklum perkara itu.

“Ramai lagi yang belum maklum perkara ini (MA63) secara sahih dan secara terbuka, dan isu Palestin ini sudah dimaklumkan secara terbuka. Ini yang membezakannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.