
Semalam, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan supaya subjek bahasa Mandarin dan Tamil diperkenalkan kepada semua pelajar di sekolah kebangsaan bagi memupuk perpaduan.
Berucap merasmikan kongres sayap penyokong PAS di Sungai Petani, Kedah, Tuan Ibrahim berkata halangan bahasa sering kali menimbulkan syak wasangka antara masyarakat, namun mempelajari bahasa masing-masing mampu memupuk persefahaman lebih baik.
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng dalam satu kenyataan berkata pemimpin PAS jangan hanya pandai berucap di pentas, tetapi gagal melaksanakan apa yang dicadangkan parti itu sendiri.
“Jika benar (Tuan Ibrahim) ikhlas cadangan bahasa Tamil dan Mandarin dijadikan subjek di sekolah kebangsaan, maka wajar terlebih dahulu buktikan kesungguhan dengan melaksanakan perkara sama di Pasti, prasekolah milik PAS sendiri,” katanya.
Lim juga berkata bahasa Mandarin dan Tamil sudah lama ditawarkan sebagai subjek tambahan di sekolah kebangsaan.
“Cadangan ini jelas membuktikan beliau tidak memahami sistem pendidikan sedia ada, atau lebih buruk, sengaja mahu memainkan sentimen perkauman dengan menimbulkan isu yang tidak wujud,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan sama ada cadangan itu adalah pandangan peribadi Tuan Ibrahim atau pendirian rasmi PAS sendiri.
“Jika ini hanya retorik peribadi, janganlah mempergunakan isu pendidikan untuk meraih perhatian. Jika ini benar-benar dasar baru PAS, sila nyatakan dengan jelas dan buktikan pelaksanaan segera di Pasti.
“Jangan isu pendidikan anak-anak kita dijadikan bahan politik murahan,” katanya.