Ugut minta rasuah lindung ubah suai meter, 5 ditahan SPRM

Ugut minta rasuah lindung ubah suai meter, 5 ditahan SPRM

Suspek berusia 20 hingga 30-an terdiri empat lelaki dan seorang wanita itu ditahan sekitar Kuala Lumpur semalam.

handcuff
Empat daripada lima suspek yang ditahan direman enam hari sehingga 27 Ogos ini untuk disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima individu yang disyaki terlibat dengan sindiket ‘scammer’ yang mengugut orang ramai dengan meminta wang rasuah kononnya bagi melindungi aktiviti pengubahsuaian meter elektrik di kediaman sekitar Lembah Klang.

Suspek berusia 20 hingga 30-an terdiri empat lelaki dan seorang wanita itu ditahan sekitar Kuala Lumpur semalam.

Susulan penahanan itu, Majistret Nadiah Abd Razak membenarkan empat suspek lelaki terbabit direman enam hari sehingga 27 Ogos selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Menurut sumber, modus operandi sindiket ialah menghubungi dan menjalankan pemeriksaan di premis pelanggan dan mengatakan mangsa telah mengubah suai meter elektrik tanpa kebenaran.

“Mangsa diugut akan dikenakan tindakan saman dengan nilai puluhan ribu ringgit jika enggan membayar rasuah bagi melindungi kesalahan ini.

“Jumlah wang rasuah dianggarkan bernilai antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap premis yang diperiksa bergantung sama ada premis kediaman atau perniagaan,” katanya.

Kata sumber, dalang sindiket berusia 30-an dan dua ahli kumpulan lain merupakan kontraktor syarikat pembekal tenaga elektrik bagi menjalankan kerja-kerja memotong bekalan elektrik.

Manakala dua orang lain merupakan individu yang terlibat mendapatkan maklumat mengenai mangsa yang dikenal pasti sindiket.

“Hasil soal siasat turut mendapati sindiket ini telah mengaut ratusan ribu ringgit yang melibatkan ribuan mangsa di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau tidak menolak bahawa terdapat lebih ramai lagi anggota sindiket akan ditangkap dan sindiket terbabit dipercayai telah beroperasi lebih setahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.