
Hakim Aliza Sulaiman memutuskan bahawa keluarga tersebut melepasi ambang diperuntukkan untuk membenarkan semakan kehakiman selepas mendapati terdapat kes prima facie berhubung niat tidak baik pihak berkuasa.
Aliza berkata pemohon menunjukkan bahawa SPRM meneruskan tindakan penyitaan walaupun menyedari tempoh dibenarkan di bawah Akta SPRM 2009 telah tamat, dan tiada kertas siasatan dibuka di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
Beliau menegaskan bahawa tindakan menggunakan peruntukan Amla selepas tamat tempoh penyitaan di bawah Akta SPRM menimbulkan persoalan serius mengenai kesahihan dan niat baik.
Katanya, mahkamah berpuas hati bahawa pemohon memenuhi ambang prima facie yang kukuh untuk membolehkan tindakan SPRM disemak secara kehakiman.
Sehubungan itu, mahkamah membenarkan permohonan keluarga tersebut untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap SPRM.
Pemohon terdiri daripada balu Daim, Naimah Khalid, dan empat anak mereka iaitu Asnida, Wira Dani, Amir dan Amin.
Sebanyak 18 syarikat yang dikaitkan dengan mereka turut dinamakan sebagai pemohon, termasuk Ilham Tower Sdn Bhd dan Selidik Jaya Sdn Bhd.
Responden ialah Penolong Penguasa Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Aset SPRM, Haris Fadhila Sukaime; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Zamri Zainul Abidin; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki; SPRM; Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan.
Dalam permohonan yang difailkan pada 6 Jun 2024, keluarga Daim memohon untuk membatalkan tindakan SPRM menyita dan membekukan aset alih mereka di bawah Seksyen 50 Amla.
Mereka juga memohon perisytiharan bahawa perintah pembekuan ke atas akaun bank mereka, serta semua tindakan dan keputusan yang diambil oleh responden, adalah tidak sah dan terbatal.
Peguam Gurdial Singh Nijar mewakili keluarga berkenaan, manakala penasihat persekutuan kanan Nurhafizza Azizan hadir bagi pihak peguam negara.