2 lelaki dipenjara 4 tahun pecah rumah curi periuk, sudip

2 lelaki dipenjara 4 tahun pecah rumah curi periuk, sudip

Dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pecah rumah serta mencuri periuk dan sudip minggu lalu.

prison
Hakim memutuskan kedua-dua tertuduh dipenjara empat tahun bermula tarikh tangkapan 14 Ogos lalu. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Ipoh menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap dua sekawan yang mengaku bersalah atas pertuduhan pecah rumah serta mencuri periuk dan sudip minggu lalu.

Harian Metro melaporkan Hakim Hilmiah Yusof menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhamat Faizal Muhamat Darus, 43, dan Mohd Ismail Mohd Abdul Aziz, 41.

Mereka didakwa melakukan pecah rumah bagi maksud kesalahan mencuri wayar, periuk, tiga sudip dan dua batang besi di sebuah rumah di Persiaran Pengkalan Barat 4, Taman Rasa Sayang, Ipoh antara 10 hingga 10.30 pagi 14 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Amirah Nabihan Shahrir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, tetapi dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman penjara minimum.

Faizal memberi alasan dia bekerja dengan pendapatan RM30 sehari, selain perlu menanggung isteri dan tiga anak masih kecil, manakala Ismail pula berkata dia tinggal sebatang kara dan bekerja sebagai pemotong rumput dengan pendapatan RM20 hingga RM30 sehari.

Hakim kemudian memutuskan kedua-dua tertuduh dipenjara empat tahun bermula tarikh tangkapan 14 Ogos lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.