
Pengerusi Mardi Azman Ismail berkata, MRQ107 dan MRQ111 dijangka dapat memberi manfaat kepada petani dan pengguna beras istimewa tempatan sekali gus memperkukuh industri padi dan beras negara.
Katanya, sejak 2010, Mardi telah melaksanakan kajian ke atas kedua-dua varieti padi itu yang mempunyai kualiti seperti aroma, warna, nutrisi dan ciri beras, memberi nilai tambah kepada varieti itu sendiri.
“Kedua-dua varieti padi ini mampu mencapai hasil tuaian melebihi lima metrik tan per hektar dengan pengurusan yang baik dan MRQ107 boleh dituai dalam tempoh antara 112 hingga 115 hari lepas tabur, manakala MRQ111 pula dapat dituai dalam tempoh 116 hingga 118 hari lepas tabur.
“Selain itu, kedua-dua varieti ini mempunyai tahap kerintangan baik terhadap penyakit karah daun dan karah tangkai serta sesuai untuk dijadikan beras rebus, menyasarkan pengguna yang mementingkan nilai pemakanan sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pengisytiharan varieti padi wangi tersebut, yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Rubiah Wang, hari ini.
Sementara itu, Azman berkata, selain memberi manfaat kepada pesawah dan pengguna tempatan, varieti padi baharu ini diharap dapat menarik minat lebih ramai pihak untuk melibatkan diri dalam pasaran beras.
Pada sidang media kemudiannya, Rubiah berkata, Mardi sebelum ini menugaskan Felcra Seberang Perak untuk mengeluarkan benih padi kedua-dua varieti itu.
Hasilnya telah dituai membabitkan sawah padi berkeluasan 2.4 hektar, katanya.
“Selepas ini, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan sekurang-kurangnya 10% dari keluasan 3,400 hektar sawah di Felcra Seberang Perak akan ditanam dengan dua varieti padi baharu ini. FGV turut menyatakan komitmen untuk memulakan penanaman MRQ111 secara komersial.
Tambahnya, dengan adanya varieti padi baharu ini, negara dapat mempelbagaikan sumber beras dan mengurangkan import beras wangi.
Terdahulu, Rubiah dalam ucapan perasmiannya berkata, pengisytiharan varieti padi wangi baharu sebagai beras istimewa merupakan satu strategi digariskan dalam Dasar Agro Makanan (DAN 2.0) bawah sub-sektor padi yang mampu memanfaatkan potensi varieti beras istimewa tempatan.
“Kewujudan dan kepelbagaian beras istimewa tempatan setanding dengan kualiti beras import dapat membantu kerajaan mengurangkan kadar import beras istimewa sekitar 25%,” katanya.