
Cha Kee Chin (PH-Rasah) berkata, Mardi sebagai institut penyelidikan pertanian utama memerlukan peruntukan jauh lebih besar untuk menjamin keterjaminan makanan dan mengurangkan kebergantungan kepada import.
“Peruntukan pembangunan untuk Mardi hanya RM39 juta. Hampir sama dengan tahun lepas iaitu RM38 juta, tak ke mana. Mardi perlu melonjakkan peruntukan supaya boleh fokus kepada usaha pengkomersialan hasil penyelidikannya.
“Kita selidik dan hasilkan produk baru mahupun baka benih yang berkualiti, tapi macam mana kita nak industri gunakan produk penyelidikan daripada Mardi. Sebab itu peruntukan yang lebih perlu diberikan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Justeru, beliau menuntut penjelasan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sama ada ia gagal memohon peruntukan lebih tinggi atau permohonan ditolak Kementerian Kewangan (MOF).
Semantara itu, Cha turut membangkitkan subsidi pertanian kepada golongan pesawah bagi setiap ekar semusim yang meningkat dari sekitar RM3,790 kepada RM4,300, iaitu kenaikan antara RM400 hingga RM510 sahaja.
“Persoalannya, adakah kenaikan yang dianggap ‘sedikit’ ini mampu memastikan pesawah dapat terus beroperasi dan seterusnya meningkatkan pengeluaran? soalnya, sambil menyatakan kadar sara diri (SSR) beras terkini masih berada pada sekitar 56% sahaja.
Ketika membentangkan Belanjawan 2026 bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM2.62 bilion untuk pelbagai subsidi pertanian tahun depan, yang menurutnya terbesar dalam sejarah negara.
Beliau berkata, kerajaan juga akan menaikkan insentif bermusim bagi penuaian padi, pembajakan dan penggunaan racun perosak, dengan setiap petani akan menerima bantuan bermusim sekitar RM4,300 sehektar berbanding RM3,790 sebelum ini.