GRS di hadapan menjelang PRN Sabah, menurut firma penyelidikan bebas

GRS di hadapan menjelang PRN Sabah, menurut firma penyelidikan bebas

Ilham Centre berkata dapatan kajian menunjukkan majoriti pengundi lebih melihat kepada personaliti calon dan pengaruh parti bertanding dengan GRS dilihat ada kekuatan dalam aspek itu.

bendera flags GRS
Kajian mendapati parti pembangkang dijangka sukar menembusi kekuatan GRS. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dipimpin Ketua Menteri Hajiji Noor dilihat mempunyai kelebihan menguasai PRN akan datang, dengan kekuatan parti itu sekata di semua wilayah, menurut kajian awal sebuah firma penyelidikan bebas.

Ketua Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar, berkata dapatan kajian menunjukkan majoriti pengundi lebih terarah kepada personaliti calon dan pengaruh parti bertanding, dengan GRS dilihat mempunyai kekuatan dalam aspek itu khususnya di kawasan majoriti Bumiputera Islam dan Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR).

Hisomuddin Bakar
Hisomuddin Bakar.

“Jika dilihat dari aspek ini, GRS mempunyai kelebihan sumber kerana parti pemerintah dan ketokohan tokoh parti mereka,” katanya kepada FMT, mengulas dapatan kajian pra PRN Sabah dilaksanakan penyelidik Ilham Centre sekitar Jun lalu melalui kaedah kualitatif.

Hisomuddin menjelaskan, kaedah tinjauan membabitkan temu bual mendalam, pemerhatian berpatisipasi, perbincangan kumpulan fokus dan analisis dokumen.

BN, Warisan sukar tembus ‘kekuatan GRS’

Sementara itu, kajian mendapati parti pembangkang khususnya Warisan dan Barisan Nasional (BN) yang pernah memegang tampuk pemerintahan negeri dijangka sukar menembusi kekuatan GRS hari ini memandangkan parti berkenaan hanya dominan di kawasan tertentu.

“Warisan hanya kekal kukuh di jajaran Pantai Timur, manakala BN dan Umno kelihatan bergelut untuk pulihkan sokongan akar umbi yang sedang berdepan defisit sokongan akibat perpecahan dalaman ketara.

“Segmen pengundi muda juga tidak melihat BN sebagai parti yang gah seperti suatu masa dahulu,” kata Hisomuddin.

Mengulas kekuatan Pakatan Harapan (PH) dengan tujuh kerusi pada PRN lalu, Hisomuddin berkata gabungan itu masih kuat di kawasan bandar majoriti Cina, yang memberi kelebihan kepada DAP dan PKR.

“Namun, pengundi Cina kini agak kritikal terhadap DAP dan PH, tetapi mereka tiada alternatif untuk mengubah arah sokongan mereka,” katanya.

Bagi Perikatan Nasional (PN) pula, Hisomuddin berkata kajian mendapati pengaruh gabungan itu merosot teruk selepas sebahagian besar Adun menyertai GRS, malah kekuatan PN di Sabah hanya tersudut kepada ketuanya, iaitu Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee.

Malah, katanya, PN juga berdepan penolakan atas faktor imej dan pembawaan PAS yang kurang sesuai di negeri bawah bayu itu, menyebabkan gandingan Bersatu-PAS agak tempang di Sabah.

“Kekuatan PN terjejas teruk, mereka hanya bergantung kepada kepimpinan Ronald Kiandee untuk teruskan semangat juang agar kekal relevan,” katanya.

Selain itu, kajian mendapati PRN Sabah diramal menyaksikan pertandingan berbilang penjuru dengan kemunculan calon bebas yang semakin ramai.

“Gerakan Gelombang Hitam, yang menghimpunkan aspirasi calon bebas, disebut-sebut mahu mencabar dominasi parti utama.

“Taktik ini mampu memecahkan undi, sekali gus memberi kesan kepada kemenangan tipis di beberapa kerusi marginal,” katanya.

Pengundi muda bentuk 20% dalam keadaan ‘tak pasti’

Hisomuddin berkata, isu sokongan pengundi muda dijangka menjadi faktor penentu dalam PRN kali ini, dengan pengundi berusia 18 hingga 39 tahun membentuk lebih 20% daripada jumlah keseluruhan pengundi.

“Dengan sebahagian besar berada dalam kategori ‘tidak pasti’ atau undecided,” katanya.

“Segmen pengundi muda adalah cabaran paling besar buat semua parti. Calon yang berjaya menjiwai aspirasi mereka serta menampilkan imej segar akan mempunyai kelebihan,” kata Hisomuddin.

Beliau berkata, strategi mendekati emosi dan sentimen anak muda bakal menentukan keputusan di kertas undi, dengan media sosial dijangka menjadi gelanggang utama kempen.

Bagaimanapun, dapatan itu dilaksanakan sebelum isu tertentu memuncak ketika menghampiri PRN Sabah ke-17.

Tempoh penggal semasa DUN Sabah akan tamat pada 11 Nov dan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.