
Beliau yang lebih dikenali Mat Sabu berkata, realitinya permintaan di pasaran berbeza dengan isu BPT yang sering dibangkitkan di Parlimen.
“Mula-mula kita jual sekampit, kita minta orang beli dua kampit dan sehinggalah kita longgar (pembelian) kepada lima kampit. Itu pun 10 hingga 15% saja (yang beli).
“Ini kerana harga beras import turun yang menyebabkan rakyat memilih harga beras agak sederhana,” katanya menurut Berita Harian selepas menjadi tetamu Podcast Utama Buletin TV3 di Balai Berita.
Beliau mengulas isu kekurangan stok BPT dalam pasaran ketika ini.
Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan akan menilai semula mekanisme baharu pembekalan beras putih selepas tamat Program Khas BPT Bersubsidi September lalu bagi memastikan rakyat mendapat bekalan mencukupi pada harga berpatutan.
Menurutnya, penilaian turut mengambil kira penyelarasan harga beras putih import (BPI) pada kadar RM2,600 satu tan di pintu gudang Padiberas Nasional Berhad berkuat kuasa 15 Mei lalu dan langkah menangani amalan beras campuran di pasaran.
Program BPT Bersubsidi dilaksanakan sejak 1 Mac lalu merupakan usaha kerajaan menyasarkan subsidi lebih berkesan dan menjadi sebahagian fasa transisi pembekalan beras putih di Malaysia.