Paras air Empangan Bukit Merah meningkat 33%

Paras air Empangan Bukit Merah meningkat 33%

Exco Perak Nizar Jamaluddin berkata operasi pembenihan awam secara signifikan bantu menghadirkan siri hujan secara semula jadi.

Bekalan untuk pertanian mungkin akan disalurkan semula apabila paras Empangan Bukit Merah pada tahap 40%. Sebelum ini, empangan itu berada pada tahap bahaya, iaitu 19.54%. (Gambar Bernama)
KUALA KANGSAR:
Paras air di Empangan Bukit Merah, Bagan Serai meningkat ke tahap 33% daripada isipadu keseluruhan selepas operasi pembenihan awan (OPA) dilaksanakan pada 29 hingga 31 Julai lalu.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Nizar Jamaluddin, berkata sumbangan OPA amat signifikan apabila kaedah berkenaan dapat membantu menghadirkan beberapa siri hujan secara semula jadi di empangan tersebut.

“Sebelum OPA, paras air pernah berada pada kadar 12% daripada isipadu keseluruhan air di empangan itu, namun selepas kaedah tersebut dilaksanakan ia meningkat ke paras 33% dalam masa kurang seminggu (selepas OPA).

“Saya harapkan keadaan ini akan berterusan dan terima kasih kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta agensi yang terlibat dalam memastikan paras air di empangan meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar.

Sebelum ini, paras air di empangan tersebut menunjukkan penyusutan dengan baki simpanan semasa air mentah berada di tahap bahaya iaitu pada kadar 19.54% setakat 15 Julai lalu.

Keadaan itu menyebabkan kaedah OPA terpaksa dilaksanakan bagi memastikan paras air di empangan yang terletak dalam daerah Kerian serta Larut Matang dan Selama (LMS) itu meningkat dan kembali menyalurkan bekalan air untuk tujuan pertanian.

Sementara itu, Nizar berkata bekalan untuk tujuan pertanian kemungkinan besar akan disalurkan semula apabila paras air kembali berada pada tahap 40% daripada isipadu keseluruhan.

“Kita jangkakan keadaan ini (40%) boleh dicapai dalam masa dua atau tiga minggu daripada sekarang dan harapan kita agar lebih banyak taburan hujan semula jadi berlaku khususnya di empangan tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.