Beberapa kawasan di Shah Alam banjir akibat hujan lebat

Beberapa kawasan di Shah Alam banjir akibat hujan lebat

MBSA menutup Jalan Batu Tiga Lama dan mengerahkan anggota memindahkan penduduk serta mengalihkan kenderaan mereka ke kawasan lebih tinggi.

Persiaran Budiman antara jalan dilanda banjir sehingga menyebabkan trafik bergerak perlahan.
PETALING JAYA:
Hujan lebat sejak awal pagi tadi mengakibatkan banjir di beberapa kawasan di Shah Alam dan Klang.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata, kawasan terjejas termasuk Taman Desa Kemuning, Kampung Budiman, Kampung Kubu Gajah, Taman Sri Lembayung, Jalan Opera, Persiaran Budiman dan Persiaran Jubli Perak.

Pasar raya Giant di Seksyen 13 juga terjejas apabila paras air naik sehingga menenggelami jalan di sekitarnya.

MBSA menasihatkan orang ramai berhati-hati dan menggunakan laluan alternatif.

“Patuhi arahan pihak berkuasa jika diminta berpindah di pusat pemindahan sementara yang disediakan,” katanya di Facebook.

Pihak berkuasa tempatan itu turut menutup Jalan Batu Tiga Lama menghala ke Taman Mesra berikutan paras air yang meningkat, dan mengerahkan anggota membantu memindahkan beberapa penduduk serta mengalihkan kenderaan mereka ke kawasan lebih tinggi.

Menurut Astro Radio Traffic, banjir kilat menutup lorong kiri dan tengah Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dari Setia Alam ke Subang. Keadaan itu juga menjejaskan persimpangan Seafield.

Setakat 12.20 tengah hari, seramai 11,825 orang dipindahkan di seluruh negara akibat banjir, dengan Kelantan paling teruk terjejas.

Di Selangor, 86 mangsa ditempatkan di lima pusat pemindahan di Shah Alam, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Langat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.