Amaran hujan berterusan beberapa negeri ditamatkan

Amaran hujan berterusan beberapa negeri ditamatkan

Keadaan dijangka bertambah baik dan tiada potensi hujan berterusan di Terengganu, Pahang, Kelantan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Hujan lebat
Penamatan melibatkan amaran hujan tahap bahaya di beberapa kawasan di Terengganu, iaitu Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman serta tahap buruk di Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.
KUALA LUMPUR:
Amaran hujan berterusan tahap bahaya, buruk dan waspada dikeluarkan di beberapa negeri pada 4.30 petang semalam, ditamatkan hari ini, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Penamatan itu melibatkan amaran hujan tahap bahaya di beberapa kawasan di Terengganu, iaitu Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman serta tahap buruk di Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.

Amaran hujan berterusan tahap buruk yang turut dikeluarkan bagi Pahang (Jerantut dan Kuantan) juga ditamatkan.

Selain itu, penamatan membabitkan amaran tahap waspada di Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Bera dan Pekan), dan Negeri Sembilan (Jelebu).

Sementara itu, Ketua Pengarah MetMalaysia, Mohd Hisham Mohd Anip, dalam kenyataan berasingan berkata berdasarkan analisis model cuaca, keadaan dijangka bertambah baik dan tiada potensi hujan berterusan di Terengganu, Pahang, Kelantan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca atau menerusi platform media sosial jabatan itu, selain menghubungi talian hotline 1 300 22 1638 bagi sebarang pertanyaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.