Pengguna kecil, tak berbaloi Malaysia bangun platform media sosial

Pengguna kecil, tak berbaloi Malaysia bangun platform media sosial

Ahli akademik Faiz Mohd Zaki berpendapat pembangunannya menelan kos besar belum termasuk penyelenggaraan dan pengurusan.

social media
Pakar siber Muhidin Arifin berkata membangunkan platform media sosial sendiri memerlukan sumber kewangan besar.
PETALING JAYA:
Malaysia belum sedia membangunkan platform media sosial sendiri didorong sasaran pengguna kecil yang mungkin tidak berbaloi dengan belanja bakal dikeluarkan, kata ahli akademik.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat dari Universiti Malaya Muhammad Faiz Mohd Zaki berkata sekiranya media sosial dicadangkan itu hanya menyasarkan pengguna dalam negara, ia tidak akan menarik perhatian ramai.

“Perbandingan dengan negara seperti China mungkin kurang relevan kerana saiz populasinya yang jauh lebih besar.

“Pembangunan sesuatu sistem menelan kos besar, selain menyelenggara dan menguruskan sistem tersebut dalam fasa pasca pembangunan,” katanya kepada FMT.

Isnin lalu, FMT melaporkan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata Malaysia mempunyai keupayaan mencipta sendiri platform media sosial kerana negara ini antara dipercayai sebagai pusat data di rantau Asean.

Namun beliau bersetuju dengan pandangan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang idea itu tidak sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan ketika ini kerana membabitkan kos sangat tinggi, namun mengalu-alukan inisiatif swasta.

Dalam pada itu, Faiz berkata usaha sepatutnya ditumpukan kepada kepada teknologi keselamatan selain memanfaatkan peluang kemasukan pelabur dengan membangunkan pendigitalan data kerajaan secara lebih menyeluruh.

Menurutnya, usaha itu lebih sesuai berbanding menyekat atau mengurangkan capaian.

“Kaedah ‘pull the plug’ dilihat kurang mesra dan kurang menyokong usaha memajukan teknologi keselamatan siber di negara ini,” katanya.

Sementara itu, pakar siber, Muhidin Arifin berkata membangunkan platform media sosial sendiri memerlukan sumber kewangan besar.

Menurut ketua pegawai operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) itu, platform terbabit memerlukan kos membangun dan menyelenggara.

“Faktor lain yang mempengaruhi kos adalah kerumitan platform dan memerlukan kemas kini serta sokongan pelanggan,” katanya.

Tambah Muhidin, platform media sosial sendiri memerlukan internet berkelajuan tinggi, pelayan boleh dipercayai (reliable servers), dan pusat data.

Beliau berkata kerajaan juga memerlukan tenaga kerja mahir dalam teknikal dan profesional diperlukan untuk membangunkan platform media sosial sendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.