Tiba masa untuk tutup zoo, kata CAP

Tiba masa untuk tutup zoo, kata CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata ia berikutan kos operasinya terlalu tinggi selain mengelakkan kekejaman terhadap haiwan.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata, saintis tidak perlu mengurung haiwan untuk mengkaji hidupan liar.
PETALING JAYA:
Sudah tiba masanya untuk menutup zoo di negara ini kerana ia memerlukan kos operasi yang tinggi selain menyebabkan haiwan itu teraniaya, kata sebuah kumpulan pengguna.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan pihak pengurusan zoo terpaksa mengeluarkan lebih banyak wang untuk memastikan semua haiwan terjaga.

Katanya, pelaksanaan sekatan penuh turut menjejaskan zoo yang sebahagian besarnya bergantung pada bayaran kutipan tiket dan bantuan kewangan daripada penaja dan pengunjung.

“Kos operasi tahunan untuk menjaga dua ekor panda gergasi dari China ialah sebanyak RM2.25 juta pada 2015 dan ia tidak termasuk kos penjagaan 5,000 pelbagai spesis haiwan yang lain,” katanya dalam kenyataan.

Mohideen berkata, tindakan mengurung haiwan juga boleh menyebabkan ia tertekan hingga sukar menyahtoksik, kurang daya tahan serta membiak.

Katanya, ia juga dianggap kejam apabila haiwan dijadikan bahan persembahan di zoo, taman tema dan taman laut.

“Jika saintis ingin mengkaji hidupan liar, mereka kini boleh melakukannya secara elektronik menerusi sistem pengesan kedudukan global (GPS), kolar pengesan dan kamera kawalan jauh.

“Saintis tidak perlu mengurungnya di dalam zoo untuk mengawasi haiwan,” katanya.

Mohideen menggesa pihak berkuasa tidak lagi mengguna pakai konsep lama dengan mewujudkan zoo kerana ia adalah “peninggalan lama perbuatan kejam terhadap hidupan liar”.

“Apa tujuannya melindungi hidupan liar di zoo sedangkan habitat semula jadinya diragut dan dieksploitasi?

“Oleh itu kami mengulangi pendirian supaya sudah tiba masanya untuk zoo ini ditutup,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.