Sukar perdaya jika daftar kad SIM prabayar guna MyDigital ID, kata pakar

Sukar perdaya jika daftar kad SIM prabayar guna MyDigital ID, kata pakar

Pendaftaran dengan MyDigital ID memerlukan pengesahan cap jari dan kriptografi.

simcard
Kerajaan mewajibkan pendaftaran kad SIM prabayar menggunakan MyDigital ID menjelang akhir tahun. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Pendaftaran kad SIM prabayar menggunakan MyDigital ID menjelang akhir tahun ini akan meningkatkan tahap keselamatan berbanding menggunakan MyKad, menurut pakar teknologi.

Ahmad Wiraputra Selamat dari Universiti Pendidikan Sultan Idris berkata penggunaan MyDigital akan menyukarkan lagi usaha memperdaya, kerana pendaftaran akan memerlukan pengesahan cap jari dan kriptografi.

“Dengan kelebihan ini, penipuan identiti SIM untuk cipta akaun palsu, atau berulang untuk tujuan penipuan akan dapat dibendung,” katanya, mengulas langkah kerajaan mewajibkan pendaftaran kad SIM prabayar menggunakan MyDigital ID menjelang akhir tahun.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Rabu berkata langkah itu bertujuan memperkukuh keselamatan dan menangani kelemahan sistem sedia ada, termasuk jumlah kad SIM boleh didaftarkan bawah satu nama yang sangat tinggi.

Mengulas lanjut, Wiraputra berkata langkah kerajaan itu dapat membendung penipuan, yang mencipta nombor secara berulang menggunakan identiti MyKad yang sama.

Sementara itu, pakar siber dari Universiti Malaya berkata penggunaan MyDigital ID dalam pendaftaran kad SIM prabayar amat bagus untuk meningkatkan tahap keselamatan.

Ini memandangkan MyDigital ID berfungsi sebagai pengenalan digital yang disahkan melalui pengesahan identiti pelanggan (e-KYC), dan ada tarikh tamat tempoh, kata Faiz Zaki.

“Pandangan saya bila guna MyDigital ID ini boleh bantu kurangkan jenayah scam dalam talian yang memang berleluasa sekarang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.