

Nurin Iwanee Mardhiah, 25, berkata Terowong SMART itu akan menjadi tambahan yang baik kepada prasarana bandar itu memandangkan keadaan lalu lintas yang diharunginya dalam perjalanan ke tempat kerja setiap hari.
“Malah perjalanan 6km dari rumah saya ke tempat kerja di Seksyen 51 boleh ambil masa kira-kira 40 minit, terperangkap dalam lalu lintas pada waktu puncak,” kata penduduk Seksyen 19 itu kepada FMT.
“Saya rasa Terowong SMART ini akan beri manfaat pada masa akan datang, terutamanya kerana populasi Petaling Jaya semakin besar,” katanya.
Pada 29 Mei, MBPJ mengumumkan cadangan pembinaan Terowong SMART sepanjang 1.98km untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan tebatan banjir.
Terowong yang dicadangkan itu akan merentasi Seksyen 51 dan 51A, Laluan 2 Lebuh Raya Persekutuan, dan Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) dengan anggaran kos keseluruhan RM350 juta.
Seorang lagi penduduk Seksyen 19, Fauzi Hassan berkata, tiada sebab untuk penduduk membantah projek itu, apabila diambil kira dua manfaat terowong itu.

Menurut lelaki berusia 66 tahun itu, Terowong SMART direka untuk menyalurkan dan mengarahkan air ke dalam takungan, terutamanya ketika banjir besar.
“Projek ini ada faedahnya. Apabila orang tak faham konsep Terowong SMART ini, mereka akan bantah,” katanya.
Terdahulu FMT melaporkan, pihak berkepentingan merangkap pengerusi kumpulan Residents Against PJD Link (ScRAP) David Yoong membantah pembinaan Terowong SMART itu disebabkan kosnya yang tinggi dan kekurangan kajian lalu lintas mengenai kesesakan di Jalan 51A/223.

Yoong mencadangkan alternatif yang lebih murah seperti jejambat, yang menurutnya, lebih menjimatkan kos.
Bagaimanapun, Fauzi berkata, kos pembinaan terowong itu munasabah kerana jejambat hanya akan mengambil lebih banyak ruang tanah dan menjejaskan kawasan perumahan berhampiran.
Ee Chern Yang, 30, turut menyatakan sokongan terhadap projek itu, namun berharap ia tidak menimbulkan gangguan kepada penduduk melalui kesesakan lalu lintas dan bunyi bising, terutama berpunca daripada kenderaan berat.
Pada masa ini, katanya, lalu lintas boleh menjadi sesak, terutamanya pada waktu puncak.
“Setiap kali mereka cuba bina sesuatu yang baharu atau jalan baharu, lalu lintas di lebuh raya atau jalan berhampiran akan jadi lebih sesak. Tetapi selepas itu, keadaan akan bertambah baik,” katanya.
‘Terlalu mahal, tiada guna’

Samrull Hairay, yang menetap di Seksyen 51, menganggap projek itu membazirkan wang rakyat kerana Terowong SMART tidak perlu dibina di bandar itu.
“Kita tak pernah dengar kawasan yang mereka mahu bina (terowong itu) terdedah kepada banjir. Jarak terowong itu ialah 1.98km dan kos pembinaannya mencecah jutaan, jadi saya rasa ia suatu pembaziran,” katanya.
Lelaki berusia 39 tahun itu berkata, kerajaan sebaliknya harus memberi tumpuan kepada menambah baik jalan dan sistem perparitan sedia ada untuk menangani isu lalu lintas dan banjir dengan berkesan.
“Pembinaan terowong itu mungkin mencetuskan isu lain seperti kesesakan. Jadi, saya rasa pilihan terbaik adalah tambah baik sahaja apa yang sudah ada,” katanya.