Kos tinggi, pelanggan berjimat ancam masa depan restoran mamak

Kos tinggi, pelanggan berjimat ancam masa depan restoran mamak

Pengusaha restoran mamak berkata, mereka melakukan terbaik bagi mengekalkan harga, di sebaik kenaikan kos dan perbelanjaan operasi lebih tinggi.

Seorang pengusaha berkata, restoran terjejas terpaksa memberhentikan pekerja kerana kos tinggi dan pelanggan lebih berjimat.
PETALING JAYA:
Restoran mamak bergelut untuk pulang modal apabila pelanggan mengurangkan perbelanjaan bagi menampung kos sara hidup semakin tinggi.

MD Golam Hossain, pengurus Restoran Sultan di Taman Ehsan, Kepong berkata kosnya jauh lebih tinggi untuk menyajikan menu biasa dan ada pelanggan mengadu kerana perlu membayar harga lebih mahal sejak awal tahun ini.

“Kami perlu menjelaskan kepada pelanggan, harga bahan mentah meningkat, jika kami tidak menaikkan harga, bagaimana hendak menjalankan perniagaan kami?” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, sepinggan nasi briyani dengan telur rebus dan sebungkus papadom yang berharga RM11 tahun lalu, kini naik kepada RM12.

Pengurus Restoran Sultan, MD Golam Hossain berkata dia terpaksa menjelaskan kepada ramai pelanggan merungut mengenai kenaikan harga.

“Tahun lalu, 1kg ayam berharga RM6.50, kini kosnya RM9.50. Begitu juga telur, kos satu karton telur gred B atau C ialah RM7.50, kini berharga RM12.30.”

Katanya, kenaikan ini ditambah tempahan berkurangan menyebabkan pihak pengurusan terpaksa menyuntik wang bagi mengekalkan perniagaan dan memecat pekerja.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia, Jawahar Ali Taib Khan pula berkata kos operasi lebih tinggi, ditambah kenaikan harga bahan mentah dan tenaga “membunuh perniagaan”.

“Semua bahan, bahkan minyak masak sudah naik harga. Tetapi kami masih mengekalkan kenaikan harga pada tahap minimum.”

Beliau berkata, pelanggan turut memilih makanan lebih ringkas seperti roti canai dan teh tarik yang disifatkannya “mengenyangkan perut mereka tanpa perlu kos tinggi.”

Mengenai inisiatif Menu Rahmah, Jawhar berkata pengusaha rugi kerana hidangan berkenaan sebenarnya berharga RM10 hingga RM11 dan hanya dijual RM5 sebagai membantu masyarakat.

Kebimbangan Jawahar berhubung kos bertambah buruk apabila kerajaan mengumumkan ia akan menghapuskan subsidi langsung bagi bahan mentah Mac lalu seperti diumumkan
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.