Serap pekerja pembersihan, pengawal jimat kos kerajaan RM250 juta setahun, kata JPKK

Serap pekerja pembersihan, pengawal jimat kos kerajaan RM250 juta setahun, kata JPKK

Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan menyangkal dakwaan menteri bahawa langkah itu akan membawa implikasi kewangan terutama membabitkan bayaran pencen.

Pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan di sekolah dan hospital termasuk dalam sektor perkhidmatan awam sehingga 1997, apabila fungsi mereka disalurkan kepada sektor swasta. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Sebuah kumpulan mewakili pekerja kontrak mempertikaikan dakwaan seorang menteri bahawa penyerapan semula pekerja pembersihan ke dalam perkhidmatan awam tidak produktif dari segi kewangan buat kerajaan.

Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) berkata, menurut kajian dijalankannya pada 2020, kerajaan akan menjimatkan RM250 juta setahun jika pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan diserap semula ke dalam perkhidmatan awam.

Pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan di sekolah dan hospital termasuk dalam sektor perkhidmatan awam sehingga 1997, apabila fungsi mereka disalurkan kepada sektor swasta.

Timbul gesaan pekerja kontrak diserap semula ke dalam perkhidmatan awam berikutan aduan gaji minimum tidak dibayar dan penganiayaan berkaitan buruh.

Jurucakap JPKK Christine Gabriel berkata, kajian mengenai “pekerjaan langsung untuk pekerja kontrak di agensi kerajaan” itu adalah berdasarkan data kerajaan mengenai perbelanjaan untuk perkhidmatan kontrak.

Menurutnya, kajian itu menganggarkan penyumberan luar pengawal keselamatan di sekolah menelan belanja kerajaan RM1.5 bilion, manakala syarikat yang memperoleh kontrak hanya membayar gaji sejumlah lebih RM1 bilion.

“Oleh itu, dianggarkan kerajaan membayar premium sebanyak RM500 juta untuk kontrak tersebut,” katanya memetik kajian itu.

Christine berkata, kerajaan boleh mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk isi rumah B10 menerusi pengambilan kerja secara langsung.

Beliau berkata, walaupun matlamat menswastakan perkhidmatan tertentu pada 1997 adalah untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan, data Putrajaya sendiri tidak menyokong dakwaan itu.

“Dakwaan terbaru oleh menteri bahawa meletakkan (pekerja tersebut) bawah perkhidmatan awam memakan kos tinggi adalah tidak kukuh, pramatang dan tidak benar,” katanya.

Pada Rabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Armizan Ali berkata, kerajaan tidak bercadang menyerap pekerja pembersihan kontrak di sekolah dan hospital ke dalam perkhidmatan awam disebabkan implikasi kewangan, terutama dalam pembayaran pencen.

Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Pulau Pinang, K Veeriah, pula berkata perkhidmatan di fasiliti kerajaan tidak seharusnya dikendalikan oleh syarikat swasta.

Katanya, ini akan mengelakkan kerajaan daripada dikaitkan dengan penganiayaan buruh oleh syarikat swasta.

“Dalam keadaan sedemikian, saya berpendapat pekerja pembersihan harus diserap ke dalam perkhidmatan awam, memberi mereka keterjaminan pekerjaan dan faedah mempunyai pekerjaan terjamin,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata jika kerajaan tidak berminat untuk menyerap semula pekerja pembersihan ke dalam perkhidmatan awam, ia harus bertindak tegas supaya kontraktor memberikan gaji dan faedah sama dinikmati kakitangan kerajaan.

“Kerajaan harus mengarahkan kontraktor meminda perjanjian mereka dengan pekerja pembersihan, dan menegaskan mereka membayar gaji minimum, serta menawarkan faedah KWSP dan Perkeso,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.