
Timbalan Pendakwa Raya Mustafa P Kunyalam memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen Norina Zainol Abidin bahawa representasi Shalom Avitan, yang dikemukakan awal bulan ini, telah ditolak.
Mustafa juga berkata pihak pendakwaan akan menyerahkan beberapa klip rakaman CCTV tambahan kepada peguam Avitan sebelum tarikh sebutan berikutnya pada 2 Sept.
Sementara itu, peguam bela Naran Singh memberitahu mahkamah dia menarik diri daripada mewakili Avitan dalam kes itu atas sebab peribadi, sebulan selepas dilantik mengetuai pihak pembelaan.
Peguam Jeffrey Ooi kekal mewakili tertuduh.
Norina kemudiannya mengingatkan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan bahawa perbicaraan akan bermula seperti yang dijadualkan pada 30 Sept.
Avitan didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Bertambah) 1971 kerana memperdagang enam senjata api, serta satu pertuduhan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 kerana memiliki 200 butir peluru.
Dia berdepan hukuman penjara antara 30 dan 40 tahun dan maksimum enam sebatan rotan, jika didapati bersalah mengedar senjata api.
Dia juga berdepan hukuman maksimum penjara tujuh tahun, denda tidak lebih RM10,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan memiliki peluru.