
Koh Yaw, 61, dan Ong Kim Chu, 64, yang juga pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mujib Saroji.
Mereka secara bersama-sama didakwa memiliki sepucuk revolver .38 SPL jenama Taurus Brasil dan 33 butir peluru tanpa kebenaran yang sah, serta dadah jenis kanabis dengan anggaran berat kasar 84.54g.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Sri Kluang pada 12.30 tengah malam 22 Jan, lapor Bernama.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Mereka juga didakwa di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan memiliki dadah, tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ramizah Razli manakala pasangan suami isteri itu tidak diwakili peguam.
Mujib tidak membenarkan jaminan dan menetapkan sebutan semula pada 27 Feb untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.