Warga AS didenda RM6,500 miliki sebutir peluru

Warga AS didenda RM6,500 miliki sebutir peluru

Bei Khe, 28, mengaku bersalah memiliki sebutir peluru tanpa lesen atau permit senjata sah pada 1 Mac di KLIA.

Warga AS Bei Khe, 28, (tengah) didenda RM6,500 oleh Mahkamah Majistret Sepang hari ini, namun telah membayar denda. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Majistret Sepang mendenda seorang warga Amerika Syarikat (AS) RM6,500 kerana memiliki sebutir peluru tanpa lesen.

Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan turut mengarahkan Bei Khe, 28, dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda. Dia bagaimanapun membayar denda.

Bei Khe yang bekerja sebagai pengendali forklift mengaku bersalah memiliki sebutir peluru jenis Rimfire tanpa lesen atau permit senjata sah pada 1 Mac di Terminal Satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206), yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Wafi Husain manakala Bei Khe diwakili peguam Zaflee Pakwanteh.

Zaflee merayu hukuman ringan dikenakan mengambil kira anak guamnya mengaku bersalah dan telah insaf sejak berada dalam tahanan reman.

Dia juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, menurut Zaflee.

“Anak guam saya ditahan semasa sedang transit ke Yangon, Myanmar, bagi melangsungkan perkahwinan pada 15 Mac ini,” katanya, lapor Bernama.

Zaflee berkata, beg mengandungi peluru itu merupakan milik abang anak guamnya di AS, yang dipinjamnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.