Lelaki ditahan di Thailand disyaki mahu seludup M4, peluru ke Malaysia

Lelaki ditahan di Thailand disyaki mahu seludup M4, peluru ke Malaysia

Bukit Aman berkata lelaki warga Malaysia berusia 46 tahun itu disyaki membeli senjata api itu di Thailand.

polis thai tahan rakyat
Lelaki warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Thailand bersama dua raifal M4 dan ratusan peluru dalam satu sekatan jalan raya di Sadao, Songkhla Sabtu lalu. (Gambar polis Thailand)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga Malaysia yang ditahan di Sadao, Songkhla, Thailand bersama dua raifal M4 dan ratusan peluru pada Sabtu lalu disyaki mahu menyeludup masuk senjata api itu ke negara ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Azmi Abu Kassim yang mengesahkan perkara itu berkata suspek juga disyaki membeli senjata berkenaan di Thailand, lapor Berita Harian.

“Kita ada menerima maklumat ini, dan sedang berusaha mendapatkan maklumat lanjut,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Semalam, media melaporkan seorang rakyat Malaysia berusia 46 tahun ditahan pihak berkuasa Thailand dalam satu sekatan jalan raya di Sadao selepas pihak berkuasa menemui dua raifal M4 bersama ratusan butir peluru dalam kereta dipandunya.

Sumber berkata, sekatan jalan raya itu dijalankan sebagai sebahagian daripada operasi pencegahan jenayah penyeludupan dadah serta ancaman keselamatan.

Katanya, pemeriksaan ke atas kereta Kia dengan nombor pendaftaran Malaysia itu menemui dua raifal M4, 300 peluru kaliber 5.56mm, tujuh magazin peluru 5.56 mm, 100 butir peluru kaliber .45 mm dan 50 butir peluru 9 mm.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.