
SHAH ALAM: Polis sedang giat mengesan suspek dalam insiden melepaskan tembakan dan penemuan kelongsong peluru di Klang, Khamis lepas.
Timbalan Ketua Polis Klang Selatan, Kamalariffin Aman Shah, berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 11.15 malam hari yang sama.
Motif kejadian masih dalam siasatan dan polis tidak menolak sebarang kemungkinan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata,” menurut kenyataan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-3376 2222 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular di media sosial insiden tembakan yang didakwa berlaku di Taman Sentosa Fasa 19, Klang baru-baru ini.