Isu sumbangan dana, Ahli Parlimen ajak Tuan Ibrahim lawat sekolah Cina

Isu sumbangan dana, Ahli Parlimen ajak Tuan Ibrahim lawat sekolah Cina

Lee Chean Chung, berkata beliau bersedia menjelaskan kepada timbalan presiden PAS itu semangat masyarakat Cina mengenai pendidikan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung mengundang Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man melawat sekolah Cina.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen mengajak Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man melawat sekolah Cina berikutan kontroversi yang timbul akibat sumbangan dana kepada sekolah-sekolah tersebut.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung daripada PKR berkata, beliau sendiri akan menerangkan kepada Tuan Ibrahim mengapa masyarakat Cina begitu bersemangat mengenai pendidikan.

“Saya bersedia melakukan yang terbaik untuk menghadiri dan menerangkan kepada (Tuan Ibrahim tentang) sejarah pendidikan Cina, semangat besar masyarakat Cina terhadap pendidikan dan sumbangan sekolah jenis kebangsaan Cina kepada masyarakat yang pelbagai,” katanya, lapor Malaysiakini.

Dalam pada itu, Lee menggesa PAS berhenti mencipta lebih banyak maklumat salah, setelah Tuan Ibrahim dilaporkan mendakwa sekolah Cina mempunyai kemudahan yang lebih baik kerana kerajaan memperuntukkan lebih banyak dana kepadanya berbanding kepada sekolah kebangsaan.

Tuan Ibrahim turut menuntut dana swasta untuk tujuan pendidikan disalurkan melalui Kementerian Pendidikan bagi memastikan pengagihan yang adil.

Pengumpulan dana sekolah Cina menjadi isu politik selepas PAS mengkritik seorang timbalan menteri yang dilihat menerima cek cura bernilai RM3 juta terpapar logo Tiger Beer pada majlis kutipan dana untuk SJK(C) Tche Min di Sungai Pelek, Selangor.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menjelaskan, Tiger Beer sekadar menaja konsert amal anjuran persatuan ibu bapa dan guru, bukan menyalurkan dana kepada sekolah itu.

Tuan Ibrahim berkata demikian susulan kenyataan bekas Ahli Parlimen Kua Kia Soong bahawa sekolah Cina dan Tamil terpaksa mengumpul dana disebabkan peruntukan tidak sama rata daripada kerajaan.

Kua juga menyeru PAS supaya menjamin peruntukan kewangan yang adil dan seimbang daripada negeri kepada sekolah Cina dan Tamil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.