Gangguan air 7 daerah dijangka pulih sepenuhnya Jumaat

Gangguan air 7 daerah dijangka pulih sepenuhnya Jumaat

Bekalan air kepada pengguna di sebahagian kawasan terjejas dijangka pulih seawal 8 pagi esok.

Pengagihan air melibatkan LRA Rantau Panjang mula dilaksanakan bermula 6 petang tadi manakala tiga SSP dijangka pada 8 pagi esok, menurut exco.
SHAH ALAM:
Gangguan air di tujuh daerah akibat pencemaran bau yang dikesan di beberapa sungai di Selangor dijangka pulih sepenuhnya Jumaat ini, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian Izham Hashim.

Izham berkata bekalan air kepada pengguna di sebahagian kawasan yang terjejas dijangka pulih seawal 8 pagi esok susulan semua loji rawatan air (LRA) terlibat beroperasi sepenuhnya.

Beliau berkata LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 (SSP1, SSP2 dan SSP3) kembali beroperasi sepenuhnya bermula 3 petang tadi.

“Pengagihan air melibatkan LRA Rantau Panjang mula dilaksanakan bermula 6 petang tadi manakala tiga SSP lagi dijangka pada 8 pagi esok.

“Kawasan kediaman yang mempunyai tekanan air rendah mengambil sedikit masa, namun sebahagian besar pengguna akan mendapat bekalan air dalam tempoh 24 jam,” katanya pada sidang media khas berkenaan isu tersebut.

Dalam pada itu, Izham berkata premis yang menyebabkan air tercemar apabila sisa mengalir ke sungai dikenakan tindakan kompaun oleh Majlis Perbandaran Selayang.

Terdahulu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaludin dalam kenyataan memaklumkan pencemaran bau berkenaan yang dikesan sejak semalam berpunca daripada premis kilang dipercayai memproses bahan akrilik untuk dikitar semula.

Air Selangor dalam kenyataan memaklumkan tujuh kawasan di Lembah Klang iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan air tidak berjadual ekoran empat LRA dihenti tugas sementara berikutan pencemaran itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.