Kedah banjir: 7 loji rawatan air dihenti tugas

Kedah banjir: 7 loji rawatan air dihenti tugas

Henti tugas LRA terbabit menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air tidak berjadual di sebahagian kawasan di daerah Padang Terap, Pendang, Kuala Muda, Sik, dan Baling.

Tujuh LRA di Kedah dihenti tugas berikutan peningkatan paras sungai ke tahap kritikal di muka sauk, berpunca daripada hujan berterusan sejak beberapa hari lepas. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Sebanyak tujuh loji rawatan air (LRA) Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) terpaksa dihenti tugas berikutan peningkatan paras sungai ke tahap kritikal di muka sauk.

Kenyataan Sada malam tadi memaklumkan keadaan itu berpunca daripada hujan yang berterusan sejak beberapa hari lepas.

Menurut Sada, henti tugas LRA terbabit menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air tidak berjadual di sebahagian kawasan di daerah Padang Terap, Pendang, Kuala Muda, Sik, dan Baling.

“Antara yang terkesan setakat 7 malam ini ialah LRA Lubuk Merbau, LRA Jeniang Baru, LRA Jeniang Lama, LRA Jeneri, LRA Nami, LRA Teloi Kanan dan LRA Sungai Limau.

“LRA utama seperti LRA Pelubang, LRA Bukit Pinang, LRA Sungai Petani/Pinang Tunggal masih beroperasi pada tahap optimum ketika ini,” katanya.

Pemantauan berterusan Sada di muka sauk LRA terbabit mendapati berlaku trend peningkatan pada paras sungai.

Sada memaklumkan ia telah menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan keutamaan pada premis kritikal seperti pusat pemindahan sementara, hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Bantuan bekalan air alternatif melalui tiga lokasi pusat agihan bantuan (PAB) turut diaktifkan iaitu di Masjid Muhammad Kampung Pulau Tengah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Tiang di Pendang serta Masjid Felda Lubuk Merbau di Padang Terap.

Menurut Sada, jangkaan bagi LRA-LRA terkesan untuk beroperasi semula belum dapat dipastikan buat masa ini kerana paras air masih di tahap kritikal dan hampir menenggelamkan aset mekanikal serta elektrikal di LRA terbabit.

Sada menasihati pengguna di kawasan lain agar melakukan persediaan awal dengan membuat takungan bekalan air bagi kegunaan selama dua hari dan menggunakannya secara berhemah.

Maklumat berkenaan gangguan bekalan air ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform media sosial dan laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my atau hubungi i-SADA di talian 1300-88-0017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.