
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata, pihak berkuasa telah mendapat senarai industri atau kilang yang menghasilkan sisa buangan yang dikenal pasti dalam sampel diambil di Taman Perindustrian Tiong Nam dan Kawasan Perindustrian Desa Tropika.
Katanya, pasukan khas terdiri polis, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang melaksanakan operasi pemeriksaan besar-besaran terhadap lebih 150 buah kilang di sekitar daerah itu.
”Kita sedang mengesan dari mana datangnya sisa kimia itu. Sehingga hari ini belum dapat dikesan kerana banyak kilang yang hasilkan sisa kimia itu dan pemeriksaan sedang berjalan (melibatkan) lebih 150 kilang.
”Setakat ini, kita dapati bahan buangan itu banyak digunakan industri seperti industri plastik, penghasilan makanan dan pembungkusan,” katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di Sungai Tebrau.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan sampel yang diambil di sungai di kedua-dua lokasi terbabit.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerja-kerja pembersihan sungai di Taman Perindustrian Tiong Nam dan Kawasan Perindustrian Tropika dijangka siap sepenuhnya esok.
“Dua lokasi pembuangan sisa kimia secara haram ini dalam fasa akhir pembersihan, proses ini berjalan lancar dan mudah-mudahan kerja-kerja pembersihan ini selesai esok,” katanya.
“Bagi lokasi pertama di Taman Perindustrian Tiong Nam, kerajaan negeri belanja RM177,000 manakala lokasi kedua di Kawasan Perindustrian Tropika pula menelan kos RM84,000.”
Beberapa siri pencemaran bau dilaporkan berlaku baru-baru ini di beberapa lokasi, termasuk Kampung Melayu Pandan; Taman Daya; Taman Istimewa; Taman Mount Austin; Kawasan Industri Desa Tropika; Kampung Maju Jaya; Kampung Tawakal serta Kampung Plentong Baru.
Bahan kimia yang dipercayai dibuang secara haram turut ditemukan di tebing anak sungai di Kawasan Industri Desa Tropika dan Taman Perindustrian Tiong Nam.