Ganti paip bocor, Seberang Perai alami gangguan air 4 Okt

Ganti paip bocor, Seberang Perai alami gangguan air 4 Okt

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang berkata, kontraktor secara tidak sengaja merosakkan saluran paip air utama dekat kampus Politeknik Khamis lalu.

Water-Taps
PBAPP menasihatkan pengguna menyimpan bekalan air secukupnya untuk tempoh 24 jam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 97,000 pengguna di Seberang Perai akan mengalami gangguan bekalan air mulai 10 malam 4 Okt ini disebabkan penggantian saluran paip bocor.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan, kontraktor pihak ketiga secara tidak sengaja merosakkan saluran paip air utama dekat kampus Politeknik kawasan itu Khamis lalu.

“Siasatan mendapati bahagian bocor terletak kira-kira 15m di bawah longkang besar monsun. Ia agak sukar, bahaya dan mengambil masa bagi menggali lebih dalam untuk membaiki kerosakan.

“Maka, PBAPP mengambil keputusan menggantikan saluran paip bocor dengan saluran paip baharu sepanjang 180m,” katanya dalam kenyataan sambil menambah penggantian itu dijadualkan selesai dalam tempoh 24 jam.

PBAPP menasihatkan pengguna menyimpan bekalan air secukupnya untuk tempoh 24 jam.

“PBAPP akan menggerakkan lori tangki air, tangki fleksi dan statik di beberapa kawasan strategik yang akan dimaklumkan kelak menerusi siaran media sosial.”

Kelmarin, beberapa kawasan khususnya Seberang Perai Selatan dilaporkan mengalami gangguan bekalan air sejak beberapa hari terdahulu akibat kebocoran paip utama bersaiz 1200mm di Permatang Pauh.

Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai, Nurhidayah Che Rose dilaporkan berkata, kebocoran itu menyebabkan kehilangan air 20 hingga 24 juta liter di SPS, tekanan air rendah dan tiada bekalan air di Taman Wellesley, Flat Mutiara Jaya, Hospital Sungai Bakap serta beberapa kawasan lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.