JAS siasat, periksa premis bertanggungjawab cemar Sg Tebrau

JAS siasat, periksa premis bertanggungjawab cemar Sg Tebrau

Sembilan sampel diambil untuk dianalisis dan pemantauan menggunakan dron serta pengawasan kualiti udara sedang dilakukan.

Ketua Pengarah JAS Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, siasatan dibuat dengan menyusuri Sungai Tebrau susulan aduan bau busuk sekitar kawasan Bukit Indah, Kempas, Senai, Skudai dan Kulai. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang menjalankan siasatan dan pemeriksaan ke atas premis yang disyaki melakukan pencemaran sehingga menyebabkan bau busuk serta lapisan berminyak di permukaan Sungai Tebrau, Johor, pada Isnin lepas.

Ketua Pengarah JAS Wan Abdul Latiff Wan Jaffar memaklumkan, siasatan dibuat dengan menyusuri Sungai Tebrau susulan aduan yang diterima mengenai bau busuk sekitar kawasan Bukit Indah, Kempas, Senai, Skudai dan Kulai.

Beliau berkata, sembilan sampel diambil untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia Malaysia dan pemantauan menggunakan dron serta pengawasan kualiti udara berhampiran kawasan kejadian juga telah dilakukan.

Bagi kes pencemaran yang dikesan di Taman Perindustrian Tiong Nam dan Taman Perindustrian Tropika pula, Wan Abdul Latiff berkata, pihaknya akan memastikan kerja-kerja pembersihan serta pelupusan sisa dilakukan oleh kontraktor berlesen mengikut terma rujukan yang ditetapkan.

“Semua pihak industri adalah diingatkan bahawa tindakan tegas di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 akan dikenakan ke atas mana-mana premis yang melakukan pencemaran alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.

Wan Abdul Latiff berkata, kerajaan memandang serius jenayah alam sekitar dan hukuman lebih berat telah diperuntuk melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, yang antara lainnya menetapkan denda serta penalti antara RM5,000 hingga RM10 juta selain penjara mandatori tidak lebih lima tahun.

Beliau menyeru orang awam agar melaporkan sebarang kegiatan mencemarkan alam sekitar melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 (24 jam) atau e-mel kepada [email protected] dan portal e-aduan JAS

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.