Kes bunuh Farah Kartini: Polis cari bahan bukti di kebun ubi

Kes bunuh Farah Kartini: Polis cari bahan bukti di kebun ubi

Pencarian bahan bukti diteruskan di kebun ubi yang diusahakan suspek secara sambilan di Slim River, Perak.

farah
Nur Farah Kartini Abdullah, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, 5 hari kemudian. (Gambar Instagram)
KUALA LUMPUR:
Polis hari ini meneruskan operasi pencarian bahan bukti bagi kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah di sebuah kebun ubi di Kampung Klan Halt, Slim River, Perak.

Timbalan Ketua Polis Hulu Selangor Mohd Asri Mohd Yunus berkata, suspek sebelum ini dipercayai mengusahakan kebun ubi berkenaan secara sambilan.

Pada masa sama, katanya, polis sedang menganalisis kad SIM suspek bagi mencari bukti baharu untuk membantu siasatan.

“Polis turut menganalisa Toyota Vios berwarna merah yang dirampas semasa suspek ditahan pada Isnin lepas,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Asri berkata, operasi mencari bahan bukti di Sungai Trolak di Kampung Batu 4, Slim River oleh Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik polis masih tidak dapat diteruskan berikutan keadaan cuaca dan arus sungai yang deras.

Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada 15 Julai.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun, yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal bertugas di Perak, ditahan dan direman hingga Isnin ini untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jenazah Nur Farah Kartini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang pada Khamis lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.