Apa cerita cabar tanpa bukti, speaker enggan layan kelakuan PAS

Apa cerita cabar tanpa bukti, speaker enggan layan kelakuan PAS

Speaker DUN Melaka berkata Adun Rembia patut bertemu beliau atau hantar surat berkenaan keahlian partinya.

Jailani Khamis
PAS dakwa permohonan Jailani Khamis untuk sertai PAS diterima pada Jun 2023, namun setakat Sept tahun lalu media melaporkan Jailani sebagai ahli Umno.
PETALING JAYA:
Speaker DUN Melaka enggan melayan kelakuan PAS yang mencabar beliau mengisytiharkan kekosongan kerusi Rembia.

Menurut Ibrahim Durum, mengisytiharkan kekosongan kerusi harus tertib mengikut proses tertentu.

Beliau menjelaskan Adun Muhamad Jailani Khamis patut bertemunya atau menghantar surat berkenaan keahlian partinya.

“Saya baru dengar khabar angin. Bukti tak ada,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas gesaan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari supaya DUN Melaka mengisytiharkan kerusi Rembia kosong jika keputusan parti itu menerima kemasukan Jailani bertentangan akta antilompat parti.

Pengisytiharan itu bagi membolehkan PRK diadakan jika ada kekosongan.

Terdahulu, Timbalan Exco Khaidhirah Abu Zahar mendedahkan Jailani yang didakwa sertai PAS tahun lalu, dianggap dalam blok kerajaan pada sidang terakhir DUN minggu lalu.

Pendedahan itu menyusuli pengumuman PAS di Parlimen semalam bahawa permohonan Jailani untuk menyertai parti tersebut diterima pada Jun 2023.

Namun menurut Khaidhirah, pihaknya tidak tahu Jailani menyertai PAS sebelum pengumuman tersebut.

Setakat 9 Sept tahun lalu media melaporkan Jailani sebagai ahli Umno, apabila lembaga disiplin parti mengesyorkan beliau digantung keahlian.

Dalam pada itu, Ibrahim membidas PAS kerana membuat pengumuman berhubung seorang Adun Melaka di Parlimen, dan bukannya di DUN.

“Apa cerita mencabar-cabar ini…kalau cabar-cabar saya minta PAS tunjukkan keahlian Jailani sejak bila,” katanya.

Ibrahim menambah Jailani sudah mengatur pertemuan dengannya.

“Jailani berhubung dengan saya, dia nak jumpa Jumaat ini di pejabat saya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.