
Rauf yang juga pengerusi Umno Melaka berkata Jailani perlu memberikan butir-butir terperinci tentang kedudukan dirinya dalam PAS sebelum sebarang keputusan dibuat terhadap beliau.
“Dia mengisytiharkan diri menjadi ahli PAS sejak 2023, jadi kita nak bukti (menyertai PAS) pada 2023 ini dekat mana? Kalau tak dapat nak buktikan pada 2023, seolah-olah dia bercakap itu atas sebab dia nak bercakap sahaja.
“Nanti kalau kita bawa ke mahkamah, dia boleh nafikan, apa buktinya? Jadi, dia kena buktikan kepada kita keahlian sejak itu,” katanya dalam sidang media selepas melawat pusat media Perhimpunan Agung Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Rauf berkata pihaknya juga telah menghantar surat kepada PAS untuk mendapatkan pengesahan mengenai keahlian Jailani sebagai ahli parti itu.
Pada 19 Julai, Rauf berkata kedudukan Jailani sebagai penyandang di kawasan itu serta status kekosongan kerusi kawasan berkenaan akan ditentukan Speaker DUN Melaka Ibrahim Durum.
Beliau berkata Speaker DUN juga akan meneliti dakwaan wakil rakyat itu telah menyertai PAS berpandukan undang-undang dan enakmen kerajaan negeri.
Pada 16 Julai, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dalam sidang media di Parlimen mengesahkan Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam Umno diterima menjadi ahli PAS pada 10 Jun 2023.
Takiyuddin mendakwa tindakan Jailani tidak dianggap sebagai lompat parti memandangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti diluluskan pada 31 Julai 2023 selepas Adun Rembia itu menyertai PAS.
Berdasarkan surat Lembaga Disiplin Umno bertarikh 28 Ogos tahun lepas, Jailani didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana sengaja hadir ke majlis pengumuman calon PN bagi PRK DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor.