Jailani mufliskan diri kerana lompat parti, kata Puad

Jailani mufliskan diri kerana lompat parti, kata Puad

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata, tuduhan Adun Rembia kononnya Umno berhasrat melihat dirinya bankrap tidak berasas.

Puad Zarkashi
Puad Zarkashi melabelkan Adun Rembia, Jailani Khamis sebagai ‘katak yang melompat mencari makan’ kerana sering bertukar-tukar parti. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Adun Rembia, Muhammad Jailani Salleh perlu bertanggungjawab atas tindakannya melompat parti kerana sudah menandatangani akuan bersumpah (SD), kata Puad Zarkashi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata, tuduhan Jailani kononnya Umno berhasrat melihat dirinya bankrap tidak berasas.

“Adun Rembia, Mohd Jailani Khamis mendakwa tuntutan Umno RM100 juta bertujuan supaya dia jadi muflis. Ini satu lagi YB tiada kelas.

“Dialah yang memufliskan dirinya. Dia ‘sign’ SD kemudian dia melompat parti, maka tanggunglah sendiri. Dia boleh tanya pula ‘Apa yang saya nak beri anak saya makan?’,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Puad turut melabelkan Jailani “katak yang melompat mencari makan” kerana sering bertukar-tukar parti.

“Jailani tidak pernah cukup makan. Sebab itu katak suka melompat cari makan. Dia asal Umno, masuk PKR kemudian jadi Adun bebas. Akhirnya (Setiausaha Agung PAS) Takiyuddin Hassan umum dia ahli PAS.

“Sepatutnya Takiyuddin cakap, oleh kerana PAS sudah banyak lelaki, maka PAS memerlukan lebih banyak katak, termasuk Jailani untuk kuatkan PAS,” perli Puad.

Sebelum ini, Jailani dilaporkan mendakwa tuntutan RM100 juta oleh Umno sebagai “harga pengorbanan yang perlu dibayar” kerana berpegang kepada prinsip.

Beliau berkata, tindakannya menyertai PAS kerana pemimpin Umno gagal menunaikan janji, termasuk bekerjasama dengan DAP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.