
Katanya, mesyuarat itu akan diadakan selewat-lewatnya Jumaat depan dan setakat ini Jailani masih dianggap sebagai ahli Barisan Nasional (BN).
“Saya tak boleh dengar cakap orang…yang dakwa dia (Jailani) jadi ahli parti (PAS) itu adalah daripada pemimpin parti itu sendiri.
“Saya memikirkan saya kena bawa (perkara ini) ke Mesyuarat Jawatankuasa Pemilih DUN untuk kami putuskan kedudukan saudara Jailani dan selepas itu kita akan tahulah tindakan apa yang harus dibuat oleh DUN berdasarkan kepada keputusan mesyuarat tersebut,” katanya menurut Bernama di Jasin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’ Bendang Melaka 2024 di Kem Benteng Negara, Sungai Rambai yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan dihadiri Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh.
Pada 16 Julai lalu, Setiausaha Agung PAS yang juga timbalan setiausaha agung Perikatan Nasional, Takiyuddin Hassan pada sidang media di bangunan Parlimen mengesahkan Jailani, yang sebelum ini digantung keahlian dalam Umno, telah diterima menjadi ahli parti itu pada 10 Jun 2023.
Takiyuddin mendakwa tindakan Jailani tidak dianggap sebagai lompat parti kerana Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan perkara itu diluluskan pada 31 Julai 2023 selepas Adun Rembia itu menyertai PAS.
Berdasarkan surat Lembaga Disiplin Umno bertarikh 28 Ogos 2023, Jailani didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana sengaja hadir ke majlis pengumuman calon PN bagi PRK Simpang Jeram di Bakri, Johor.
Keahlian Jailani dalam Umno digantung enam tahun.