
Jailani berkata tindakan beliau menyertai PAS kerana pemimpin Umno yang gagal menunaikan janji termasuk dengan bekerjasama dengan DAP.
“Saya masuk PAS, saya dapat ugutan saman RM100 juta, dia Umno nak bankrap kan saya. Apa yang saya nak beri anak saya makan.
“…tapi tuan-tuan ini soal pendirian dan pegangan,” katanya ketika berceramah di kempen Perikatan Nasional di PRK Nenggiri.
Jailani berkata beliau meninggalkan Umno adalah disebabkan prinsip perjuangan dan kerana parti itu memilih untuk bekerjasama dengan DAP maka beliau memilih meneruskan perjuangan bersama PAS.
Sebelum ini Presiden Umno Zahid Hamidi berkata, parti itu sudah menyerahkan surat tuntutan kepada Jailani bagi menuntut ganti rugi serta pampasan RM100 juta kerana menyertai PAS.
Zahid berkata, jika Jailani gagal membuat bayaran tersebut, tindakan susulan akan diambil parti itu.
PAS pada satu sidang media di Parlimen pada 16 Jul mengumumkan Jailani telah menyertai parti itu selepas diterima sebagai ahli pada Jun 2023.
Setakat 9 Sept tahun lalu media melaporkan Jailani sebagai ahli Umno, apabila lembaga disiplin parti mengesyorkan beliau digantung keahlian.
Jailani menyertai Umno pada Jun 2021 selepas meninggalkan PKR, dan mempertahankan kerusi DUN Rembia atas tiket Barisan Nasional pada PRN tahun sama.