Faizal umum beri laluan kepada Hamzah jadi timbalan presiden

Faizal umum beri laluan kepada Hamzah jadi timbalan presiden

Faizal Azumu berkata ia cadangan daripada presiden Bersatu bagi mengelakkan pertembungan.

Ahmad Faizal Azumu berkata beliau membuat keputusan untuk beri laluan kepada Hamzah Zainudin selepas berbincang dengan Presiden Muhyiddin Yassin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahmad Faizal Azumu mengumumkan akan beri laluan kepada Hamzah Zainudin untuk menjadi timbalan presiden Bersatu, menjelang pemilihan parti Oktober ini.

Faizal berkata beliau membuat keputusan itu selepas berbincang dengan Presiden Muhyiddin Yassin.

“Ini satu cadangan daripada presiden bagi mengelakkan berlaku sebarang pertembungan.

“Jadi dalam perundingan tersebut, kita telah bersetuju saya berundur tidak menawarkan diri sebagai timbalan presiden dan Hamzah diminta oleh akar umbi dan kepimpinan untuk mengambil alih jawatan disandang saya ketika ini,” katanya lapor Berita Harian.

Muhyiddin pada sidang media selepas konvensyen Bersatu mengumumkan Faizal sudi lepaskan jawatan dan tidak bertanding bagi memberi peluang kepada Hamzah Zainudin untuk mengambil tugas sebagai timbalan presiden.

Dalam ucapan perasmian sebelum itu, Muhyiddin membayangkan tiada pertandingan bagi jawatan tertinggi parti susulan kata sepakat selepas rundingan diadakan.

Menurutnya, terdapat usul beberapa bulan lalu yang memintanya ‘campur tangan’ bagi mengelakkan perpecahan.

Faizal menggalas jawatan timbalan presiden sejak 2020, manakala Hamzah ketika ini setiausaha agung parti.

Muhyiddin turut mengumumkan Faizal akan menawarkan dirinya untuk jawatan naib presiden, dan jawatan setiausaha agung akan ditawarkan kepada Azmin Ali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.