Dicalon timbalan presiden PAS, Amar tunggu surat jawatankuasa pemilihan

Dicalon timbalan presiden PAS, Amar tunggu surat jawatankuasa pemilihan

Naib Presiden Mohd Amar Abdullah berkata jawatankuasa pemilihan akan menghubungi calon jika menerima cukup pencalonan.

Mohd Amar Abdullah antara tiga penyandang jawatan naib presiden PAS ketika ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mohd Amar Abdullah berkata beliau akan membuat keputusan berhubung pencalonan bagi jawatan timbalan presiden PAS selepas menerima pemakluman jawatankuasa pemilihan pusat.

Mengulas pencalonan Pemuda PAS Pengkalan Chepa, naib presiden parti itu menjelaskan jawatankuasa terbabit akan membincangkan setiap cadangan daripada mesyuarat di seluruh kawasan.

“Sekiranya cukup pencalonan (yang menyokong), maka jawatankuasa pemilih akan menghubungi calon dicadangkan itu.

“Mereka (jawatankuasa) akan beritahu kita sekiranya cukup syarat. Jika tidak cukup syarat mereka (jawatankuasa) tidak akan beritahu kita,” katanya menurut Berita Harian.

Ditanya sama ada beliau menerima pencalonan itu, Amar berkata, beliau perlu tunggu surat daripada jawatankuasa terbabit.

Sebelum ini, media melaporkan Amar yang juga speaker DUN Kelantan dicalonkan bagi jawatan timbalan presiden untuk pemilihan parti dijangka September depan.

Cadangan itu dibawa Ketua Penerangan Pemuda PAS Pengkalan Chepa Mohamad Sazwan Mohd Sakri dan disokong sebulat suara oleh seluruh perwakilan sayap berkenaan.

Jawatan timbalan presiden PAS kini disandang Ahli Parlimen Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kali terakhir jawatan itu dipertandingkan pada pemilihan 2015, menyaksikan Tuan Ibrahim menewaskan penyandang Mohamad Sabu yang selepas itu keluar PAS untuk menubuhkan Amanah.

Amar antara tiga penyandang jawatan naib presiden PAS selain Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Parlimen Bagan Serai Idris Ahmad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.