Hadi kekal presiden PAS, menang tanpa bertanding

Hadi kekal presiden PAS, menang tanpa bertanding

Ahli Parlimen Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man turut disahkan menang tanpa bertanding jawatan timbalan presiden.

hadi tuan ibrahim
Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man tidak pernah ditandingi bagi dua jawatan tertinggi dalam PAS sejak pemilihan pada 2015.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Marang Hadi Awang diumumkan menang tanpa bertanding untuk jawatan presiden PAS untuk sesi 2025/2027, mengekalkan kedudukan disandangnya sejak 2005.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat (JKPP) Wan Rohimi Wan Daud turut mengumumkan Ahli Parlimen Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man, juga menang tanpa bertanding.

Hadi dan Tuan Ibrahim tidak pernah dicabar sejak pemilihan pada 2015.

Menurut Wan Rohimi, pengesahan itu dibuat selepas semua jawapan tawaran pencalonan diterima dan diteliti oleh jawatankuasa berkenaan yang bersidang, Selasa lalu.

“Turut menang tanpa bertanding Hussin Ismail sebagai pengerusi tetap, Kamal Shaari (timbalan pengerusi tetap) selain tiga naib presiden iaitu Ahmad Samsuri Mokhtar, Idris Ahmad dan Mohd Amar Abdullah.

“Bagi jawatankuasa kerja PAS Pusat pula, sebanyak 38 calon diterima manakala lapan calon menolak pencalonan, sekali gus menyaksikan pertandingan di peringkat itu,” katanya dalam kenyataan.

Wan Rohimi berkata, semua jawatan dalam Dewan Ulama PAS Pusat bagi sesi itu turut diumumkan menang tanpa bertanding, termasuk ketuanya Ahmad Yahaya.

“Untuk Pemuda PASPusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden disahkan menang tanpa bertanding bagi jawatan ketua, manakala Wanita pula akan diterajui Nuridah Salleh yang turut menang tanpa
bertanding,” jelas beliau lagi.

Muktamar PAS akan berlangsung 11 hingga 16 September bermula dengan persidangan sayap parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.